Kesukarelawanan harus dipertingkat dalam persiapan berdepan bencana
Israr Khalid
September 13, 2022 05:15 MYT
September 13, 2022 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan rakyat Malaysia memang cukup prihatin dan pantas tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik tatkala bencana melanda.
Begitupun, bagi Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar, kecemerlangan tindakan itu boleh dipertingkatkan lagi andai ia dapat turut diterjemahkan kepada usaha mempersiapkan komuniti setempat supaya bersedia sebelum sebarang musibah menimpa.
“Eloklah kita tingkatkan lagi tahap kesukarelawanan kita itu, kalau boleh di peringkat bersiap siaga ini, sediakan diri kita, komuniti kita, supaya lebih terancang dan tersusun,” katanya.
Timbalan Ketua (Penyelidikan), Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari (SDSN) Asia, Sunway University itu berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI yang dihoskan Nazri Kahar malam tadi.
Jelas Mazlin, kesediaan yang mantap sebelum berlakunya bencana dapat lebih mengurangkan lagi impak yang bakal diterima.
Beliau memuji langkah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang hadir dengan inisiatif pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti yang kini telah menggerakkan 155 program dengan kira-kira 12,500 peserta terdiri daripada ketua-ketua masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan.
Bagi menyokong usaha tersebut, beliau juga mencadangkan supaya institusi-institusi pengajian tinggi serata negara mengambil langkah proaktif duduk bersama pihak berkuasa tempatan dan membincangkan pelan persediaan mengikut lokaliti masing-masing.
“Kalau ada lagi sukarelawan ingin memberi bantuan, jangan tunggu lepas banjir.
“Siap sedia dan sama-sama bekerja dengan komuniti serta kumpulan penduduk di tempat masing-masing untuk fikirkan senario terburuk yang boleh berlaku (dan rancang bagaimana untuk mendepaninya dengan baik),” tambahnya.