Kesukarelawanan, ejen penggerak transformasi negara - Najib

Bernama
Disember 10, 2016 00:56 MYT
Perdana Menteri berkata aktiviti kesukarelawanan dapat membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan. - Gambar fail
Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak lebih ramai masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan dan menjadi ejen penggerak dalam usaha membangunkan negara menjadi sebuah negara maju.
Perdana Menteri berkata aktiviti kesukarelawanan dapat membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, baik hati dan penyayang, iaitu elemen yang dapat menyumbang kepada kekuatan dalaman sesebuah negara.
Beliau berkata sebuah negara yang maju bukan hanya diukur daripada infrastruktur yang disediakan, bangunan pencakar langit atau kemajuan pengangkutan awamnya, tetapi juga karektor rakyatnya.
"Saya harap semangat kesukarelawanan ini akan dapat jadi gelombang besar dalam negara dan kita akan capai lebih banyak kejayaan dalam negara," katanya selepas menyampaikan anugerah Volunteer Malaysia Awards (VMA) anjuran iM4U di sini, Jumaat malam.
Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Pemegang Amanah iM4U Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Rudy Malik.
Menghargai pengorbanan sukarelawan, Najib berkata kesemua mereka yang terlibat dalam aktiviti tersebut wajar diberi pengiktirafan sewajarnya.
"Mereka ini adalah wira wirawati, mereka tak mahu ganjaran material melainkan kita iktiraf mereka," katanya.
Wujud hasil cetusan idea Najib sendiri, VMA yang mempertandingkan 13 kategori, diadakan bagi mengiktiraf sumbangan individu serta kumpulan sukarelawan, yang melapangkan masa dan tenaga mereka untuk aktiviti kesukarelawanan dan menggalakkan orang ramai untuk menjalankan aktiviti itu.
Pada majlis anugerah berkenaan, Projek Transformasi Belia Luarbandar (TRY) dinobatkan penerima Anugerah Superelawan Tahunan, anugerah tertinggi dalam penganjuran sulungnya.
Majlis itu turut menyaksikan aktivis keselamatan, K. Balasupramaniam menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dan pengasas Kelab Kebajikan dan Pendidikan Puncak, Ramli Bakar bagi Anugerah Khas Juri.
Inisiatif Sukarelawan Terbaik diberikan kepada Yayasan Pelajaran Johor (sektor perkhidmatan awam), AEON Co.(M) Bhd (sektor swasta) dan Association of the Learning Disabled (NGO).
Sementara, penyanyi Faizal Tahir menerima dua pengiktirafan iaitu Anugerah iM4U untuk Lagu Kemanusiaan Terbaik melalui lagu 'Assalamualaikum' dan bagi kategori Personaliti (undian dalam talian) melalui iAMFAITHMEN.
-- BERNAMA
#kesukarelawanan #Najib Tun Razak #transformasi