Kestabilan politik Malaysia penting bagi depani situasi di Asia Pasifik - Menteri Pertahanan
Bernama
Jun 5, 2023 11:40 MYT
Jun 5, 2023 11:40 MYT
SINGAPURA: Tidak dinafikan kestabilan politik di Malaysia adalah penting dalam mendepani situasi di Asia Pasifik kerana pembangunan keupayaan pertahanan negara mengambil tempoh masa yang panjang
Ini memerlukan sokongan dasar yang konsisten bagi memastikan pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan berjalan lancar serta mengikut jadual dalam memastikan "Malaysia kekal berdaulat, selamat dan makmur."
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata demikian kepada Bernama di akhir sidang kemuncak pertahanan Dialog Shangri-la ke-20, di sini yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 Jun lalu.
Beliau mengulas pertanyaan samada kesan ketegangan AS-China ke atas rantau Asia-Pasifik memerlukan kestabilan politik di sesebuah negara termasuklah Malaysia bagi menghadapi sebarang kemungkinan di masa hadapan.
Di luar acara itu, Mohamad turut mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatan beberapa negara termasuklah Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Lloyd J. Austin III dan Ahli Majlis Negeri China dan Menteri Pertahanan Negara Jeneral Li Shangfu.
Ditanya adakah Malaysia menyuarakan harapan dan juga kebimbangan kepada wakil kedua kuasa besar itu, Mohamad berkata Malaysia telah menekankan akan kepentingan "ASEAN Centrality, ZOPFAN dan SEANWFZ" dalam menangani isu Laut China Selatan.
"Ia bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.
"Malaysia juga telah menyatakan pendirian sebagai negara berkecuali dan negara dagang tidak akan berpihak serta bersahabat dengan semua negara," kongsinya.
ZOPFAN atau Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali merupakan pengisytiharan yang ditandatangani oleh Menteri Luar bagi negara-negara ASEAN - Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand - pada tahun 1971 di Kuala Lumpur, Malaysia.
Sementara itu SEANWFZ atau Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok 1995, ialah perjanjian moratorium senjata nuklear antara 10 negara anggota Asia Tenggara di bawah naungan ASEAN.
Mohamad turut diminta mengulas mengenai perkembangan melibatkan AS yang menjalinkan kerjasama lebih erat dengan rakan dan sekutunya "dengan menggandakan pakatan dan perkongsian" di rantau Asia Pasifik.
Katanya Malaysia sebagai negara rakan AS menerima baik kehadiran mereka di Asia Tenggara dan akan meningkatkan kerjasama pertahanan dengan kuasa besar itu melalui memorandum persefahaman yang dijangka ditandatangani pada hujung tahun ini.
"Malaysia juga turut menerima manfaat daripada AS melalui program Building Partners Capacity khususnya bagi meningkatkan maritime domain awareness di Laut China Selatan," katanya.
Di dalam ucapannya pada 3 Jun yang bertajuk "A Shared Vision for the Indo-Pacific", Austin berkongsi Strategi Pertahanan Nasional AS yang menyeru kerjasama lebih rapat dengan sekutu dan rakan kongsinya pada "setiap peringkat perancangan pertahanan."
Austin menyatakan bahawa matlamat bersama adalah jelas, iaitu "untuk menghalang pencerobohan dan memperkukuh peraturan dan norma yang menggalakkan kemakmuran serta mencegah konflik."
"Jadi kami meningkatkan perancangan, penyelarasan dan latihan dengan rakan-rakan kami dari Laut China Timur ke Laut China Selatan hingga Lautan Hindi," kata Austin di dalam ucapannya itu.
-- BERNAMA