Kestabilan pasaran buruh pada Q1 2021 dijangka berterusan ke Q2 2021
Dagang News
Ogos 12, 2021 05:28 MYT
Ogos 12, 2021 05:28 MYT
PUTRAJAYA: Prestasi pasaran buruh negara dijangka akan bertambah baik pada suku kedua 2021 dengan kadar pengangguran dianggarkan berada pada paras 4.6% berbanding 4.8% yang dicatatkan dalam suku pertama 2021 dan suku keempat 2020.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, unjuran ini terkandung dalam Laporan “Quarterly Labour Market Perspectives – Stabilisation of Labour Market in the Post-Crisis Periods” yang dikeluarkan semalam oleh agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Laporan yang disediakan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), sebuah pusat penyelidikan kolaboratif di antara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO dan Universiti Putra Malaysia Consultancy & Services (UPMCS) ini mendapati bahawa prestasi pasaran buruh pada suku pertama 2021 menunjukkan situasi pemulihan yang stabil.
Ini berdasarkan kadar pengangguran yang tidak berubah dan kekal stabil pada kadar purata 4.8% untuk suku pertama 2021 dan suku keempat 2020.
Menurutnya, kestabilan ini disokong oleh penurunan kadar kehilangan pekerjaan dalam kalangan pekerja sektor swasta yang menyusut sebanyak 12%.
“Selain itu, pelaksanaan PKP pada suku pertama 2021 juga tidak menjejaskan pasaran buruh negara, hasil pendekatan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih bersasar.
“Walau bagaimanapun, sebahagian segmen pasaran buruh masih terkesan dan berada pada fasa awal pemulihan, terutamanya sektor pekerjaan informal dan sektor pelancongan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Saravanan berkata, laporan turut mendapati pemulihan pasaran kerja untuk suku pertama 2021 adalah berbentuk "trapezoid", di mana ia menggambarkan trend ketidakseimbangan yang kekal di antara pencari kerja dan peluang pekerjaan.
Katanya, ini menunjukkan situasi pasaran buruh negara tidak berubah berbanding suku keempat 2020, di mana terdapat lebihan bekalan pekerja berbanding dengan kekosongan jawatan yang sedia ada.
“Manakala, penciptaan peluang pekerjaan bagi kategori profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET) diunjurkan berkembang perlahan berbanding bilangan pencari kerja untuk kategori yang sama.
“Laporan ini juga menjangkakan bahawa impak pelaksanaan PKP penuh yang bermula sejak 1 Jun 2021 ke atas pasaran buruh hanya dapat dilihat pada suku ketiga 2021,” ujar beliau.
Selain itu kata Saravanan, langkah prihatin Kerajaan baru-baru ini dengan memperkenalkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dalam usaha menstabilkan pasaran buruh negara menerusi pelaksanaan inisiatif seperti Program Upah Subsidi (PSU) 4.0, program PenjanaKerjaya 3.0 dan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), dijangka dapat membantu mengurangkan impak pelaksanaan PKP penuh atau total lockdown.
Sehubungan itu kata beliau, KSM yang berperanan sebagai peneraju pembangunan dan pengurusan sumber manusia akan sentiasa memantau keadaan pasaran buruh negara dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama ujarnya, Kementerian juga akan melaksanakan pelbagai intervensi yang bersesuaian untuk terus mempergiat proses pemulihan negara khususnya dalam memangkin pasaran buruh negara.
Laporan “Quarterly Labour Market Perspectives – Stabilisation of Labour Market in the Post-Crisis Periods” suku pertama 2021 boleh diperoleh di pautan https://eiscentre.perkeso.gov.my.
Berita asal di DagangNews.com
#Pasaran buruh
#Kementerian Sumber Manusia
#Saravanan
#pengangguran
#perkeso
#total lockdown
#PKP
#sektor pelancongan
#subsidi
#ekonomi