Kesilapan saat akhir parti membawa padah

Wan Syamsul Amly
Februari 19, 2013 20:58 MYT
Kesilapan mana-mana parti politik dalam tempoh terdekat membuka risiko kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, keputusan akhir pengundi untuk memilih parti boleh berubah dalam sekelip mata.
``Pengundi kini melihat Barisan Nasional dari sudut menyelesaikan masalah integriti manakala masalah pertelagahan dalam Pakatan Rakyat menjadi tumpuan. Mereka (pengundi) kini sudah semakin bijak menilai,'' ujarnya kepada media semasa seminar politik dan PRU menjelang PRU ke-13 anjuran UMCEDEL di sini hari ini.
Ujarnya, tsunami PRU ke-12 membuktikan rakyat mahu menilai cara penyelesaian setiap isu parti sehingga ke saat akhir menjelang pilihan raya.
Seminar sehari itu, membincangkan aspek kecemerlangan BN dan Pakatan Pembangkang selain harapan mereka menjelang PRU ke-13.
Dalam pada itu kata Dr. Mohammad, BN kini berada di landasan terbaik untuk memenangi hati dan naruni rakyat.
Ujarnya, pelbagai bantuan yang diumum kerajaan dilihat aspek pendekatan popular untuk memenangi hati rakyat.
Namun katanya, BN harus berhati-hati untuk mengelak kesilapan saat akhir yang mungkin mengubah keputusan akhir pengundi untuk memangkah parti itu.
#pilihan raya #Professor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman #PRU-13 #umcedel
;