Kesihatan Prabowo: Teddy Indra Wijaya perlu telus tentang situasi sebenar
Astro Awani
Disember 24, 2024 17:23 MYT
Disember 24, 2024 17:23 MYT
KUALA LUMPUR: Pertemuan di antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto, yang sepatutnya berlangsung di Langkawi pada Isnin, tercemar dengan insiden alasan yang bercanggah dari pihak Indonesia sendiri.
Terdahulu media memetik Perdana Menteri sebagai berkata, beliau dan keluarga sudah berada di Langkawi lebih awal untuk menyambut kunjungan sahabat, iaitu Prabowo.
Namun pada saat-saat terakhir dimaklumkan bahawa Presiden Indonesia itu telah memohon untuk menangguhkan kunjungan ke Malaysia kerana kurang sihat.
Menurut sumber Kedutaan Indonesia di Malaysia, alasan itu pada awalnya dimaklumkan oleh Setiausaha Kabinet Kerajaan Indonesia, iaitu Teddy Indra Wijaya kepada pihak kedutaan, sebelum dipanjangkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Namun selepas Anwar menerusi perkongsian di laman media sosialnya mendoakan agar Prabowo kembali sihat, beberapa media Indonesia memetik Teddy sebagai berkata Presidennya berada dalam keadaan sihat.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian di laman media sosial Anwar (yang masih belum diturunkan), sekali gus mencerminkan beliau berpegang teguh terhadap maklumat yang diterimanya itu.
Memetik laporan Tempo pula, Teddy dilaporkan sebagai berkata, Prabowo telah membatalkan lawatannya ke Malaysia kerana ada urusan penting yang perlu diselesaikan di Jakarta.
Teddy seterusnya dilaporkan berkata, Prabowo telah mengadakan beberapa siri mesyuarat di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jawa Timur, sejurus tiba dari Mesir pada 23 Disember, bagi membincangkan tentang Sambutan Hari Krismas dan Sambutan Tahun Baharu dan juga tentang persiapan bencana.
Namun sumber kerajaan memberitahu Astro AWANI, Teddy dilihat cuba berdolak-dalik apabila berita penangguhan itu dilaporkan secara meluas di Indonesia, dan cuba menyalahkan Anwar kerana mengatakan Prabowo sedang mengalami demam.
Beberapa pihak tempatan pula melihat penangguhan dengan alasan yang bercanggah seolah-olah mencerminkan kelemahan komunikasi dalan kalangan kerajaan Indonesia, keangkuhan dalam menjaga hubungan diplomasi dan yang paling menonjol, kurangnya rasa hormat terhadap Malaysia.