Kesihatan mental tanpa rawatan undang peningkatan kes terjun jambatan di Kelantan

Bernama
Mei 14, 2024 12:50 MYT
Kesihatan mental yang serius boleh menyebabkan individu mengalami skizofrenia sekali gus mereka memilih jalan singkat dengan mengambil nyawa sendiri. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Masalah kesihatan mental rakyat Kelantan yang dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya akan menimbulkan pelbagai permasalahan termasuk kemurungan serius yang turut mengundang kepada peningkatan kes terjun jambatan.
Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Raja Perempuan Zainab II Dr Fariza Yahya berkata kesihatan mental yang serius boleh menyebabkan individu mengalami skizofrenia sekali gus mereka memilih jalan singkat dengan mengambil nyawa sendiri.
"Perbuatan terjun dari jambatan juga merupakan cubaan membunuh diri yang dikaitkan dengan masalah mental kerana individu yang dilanda kemurungan tidak sama dengan individu yang mengalami kesedihan biasa.
"Individu yang mengalami kemurungan selama dua minggu atau lebih akan menyebabkan mereka kurang selera makan, tidur terganggu, hilang rasa seronok terhadap perkara yang mereka suka dan akhirnya mereka merasa diri tidak berguna untuk meneruskan hidup," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dr Fariza berkata pemikiran mereka menjadi keliru lalu hilang kewarasan walaupun mereka sebelum ini merupakan individu yang kuat beribadat.
Beliau berkata keluarga seharusnya peka dengan sebarang perubahan yang berlaku dan membawa mereka segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.
"Mereka yang mengalami kemurungan pada tahap serius ini akan mengambil nyawa sendiri dengan pelbagai cara seperti terjun dari bangunan, terjun ke dalam sungai, menggantung diri dan mengelar tangan," katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan merekodkan sebanyak 18 kes cubaan bunuh diri termasuk dengan cuba terjun dari jambatan sejak 2021 sehingga kini.
Pengarahnya Zainal Madasin berkata antara lokasi jambatan yang terlibat ialah Jambatan Sultan Yahya Petra, Jambatan Tendong, Jambatan Salor, Jambatan Wakaf King, Jambatan Tok Bali dan Jambatan Pak Nik Lah.
"Kebanyakan mangsa ditemukan meninggal dunia akibat lemas selepas beberapa hari atau beberapa minggu kemudian," katanya.
#bunuh diri #kesihatan mental #Kelantan #terjun jambatan
;