Kesihatan mental: Segera dapatkan nasihat psikiatri, kaunselor - Dr Siti Mariah
Sinar Harian
Ogos 5, 2022 08:30 MYT
Ogos 5, 2022 08:30 MYT
SHAH ALAM: Individu yang mengalami gangguan kesihatan mental diminta segera mendapatkan nasihat psikiatri dan kaunselor serta melakukan diagnosis dan intervensi awal di klinik kerajaan atau swasta bagi mencegah keadaan menjadi lebih buruk.
Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri memandang serius isu tersebut dan memperkenal inisiatif Selangor Mental Sihat (Sehat) bagi membantu mereka yang memerlukan sokongan.
Beliau berkata, rakyat dan penduduk di Selangor tidak perlu gusar mengenai kos rawatan kerana menerusi inisiatif yang ditawarkan semua perkhidmatan disediakan adalah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri Selangor.
"Saya menyeru kepada individu atau sesiapa yang mempunyai ahli keluarga atau pasangan mungkin mengalami masalah gangguan mental seperti tekanan, kemurungan atau kegelisahan segera hubungi Talian Hotline Sehat," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis.
Ujarnya, kenaikan ketara kes gangguan kesihatan mental banyak dicatatkan termasuk menerusi laporan media massa ketika pasca pandemik Covid-19 dipercayai akibat tekanan ekonomi, hilang pekerjaan, masalah keluarga dan lain-lain.
"Laporan media berhubung insiden bapa mencampak tiga anak di Kepong semalam (Rabu) sungguh meruntun hati saya.
"Sekalipun mangsa bukan warganegara, namun ia membabitkan nyawa apatah lagi melibatkan kanak-kanak tidak berdosa, sangat mengesankan bukan sahaja saya tetapi kita semua," katanya.
Tambahnya, minggu ini turut dilaporkan seorang ibu yang juga jururawat dituduh membunuh bayinya berusia lapan bulan.
"Dua insiden ini malah banyak lagi yang dilaporkan sebelum-sebelum ini menuntut kita sebagai masyarakat mengambil peduli keadaan mereka di sekitar khususnya pasangan, ahli keluarga, saudara mara malah jiran tetangga," katanya.
Sehubungan itu, katanya orang ramai yang memerlukan bantuan kaunseling boleh menghubungi talian 1700-82-7536 atau 1700-82-7537 dari Isnin hingga Jumaat mulai 8.30 pagi hingga 4.30 petang. -Sinar Harian
#kesihatan mental
#nasihat psikiatri dan kaunselor
#diagnosis dan intervensi awal
#Dr Siti Mariah Mahmud