Kesihatan mental adalah tanggungjawab kita semua - Tengku Iman

Israr Khalid
April 12, 2021 21:00 MYT
TENGKU IMAN: Cukup dengan mengambil berat dan bertanya khabar dengan belas dan ikhlas, perbuatan sekecil itu dapat meringankan beban yang terbuku dalam diri mereka. - Foto: Astro AWANI/Israr Khalid
KUALA LUMPUR: Setiap dari kita ada cabaran hidup yang tersendiri, menjadi manusia itu lumrahnya untuk berdepan masalah dalam apa jua perkara.
Kemajuan teknologi entah bagaimana sedikit sebanyak membuatkan kita hilang nilai kemanusiaan. Segala benda dimudahkan atau diserahkan sepenuhnya kepada mesin, sehingga kita sendiri hilang deria dan sensitiviti terhadap alam keliling.
Lihat saja apa yang berlaku hari ini.
Ketercapaian perhubungan tanpa had di atas talian membuatkan manusia bercakap sesuka hati tanpa memikirkan langsung natijah perbuatannya kepada orang yang ditujukan, orang yang membaca malah kepada seluruh masyarakat.
Itu antara contoh kemerosotan jiwa manusia zaman ini. Belum lagi menyentuh hal bagaimana kita tidak mengendahkan alam sekitar, dan cara kita menggula-gulakan anak-anak kita dengan teknologi sehingga mereka tidak kenal yang mana satu rumput dan yang mana satu lalang.
Maka apabila akal dan jiwa manusia itu tidak berada di paksi keseimbangannya, wujudlah konflik dalaman yang dalam kata lain dipanggil masalah mental. Dan masalah ini sebenarnya tanpa kita sedari semakin membarah dalam masyarakat kita.
Puteri sulung Yang Di-Pertuan Agong, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah menyedari perkara ini dan merasakan sesuatu perlu dilakukan.
Justeru, beliau bersama sahabat karibnya, Puteri Nor Ariane Yasmin menggerakkan satu inisiatif yang dipanggil Green Ribbon Group.
"Kesihatan mental adalah sesuatu perkara yang sangat mustahak tetapi sering dilepas pandang.
"Jika kita tidak mengambil berat tentang kesihatan mental kita, lambat laun ia akan menjejaskan aspek-aspek lain dalam hidup kita," katanya.
Mereka bukanlah pakar dalam hal ehwal kesihatan mental. Jelas Tengku Iman, Green Ribbon Group merupakan sesuatu usaha untuk menghubungkan segala usaha dan gerakan kesihatan mental yang telah wujud selama ini untuk memudahkan aksesnya kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Kata Tengku Iman, pandemik COVID-19 telah membuka mata kita terhadap sesuatu yang telah kita tinggalkan sekian lama ketika mengejar kemajuan materialistic, iaitu belas kasihan. Itulah yang mahu dipupuk kembali dalam kalangan masyarakat menerusi inisiatif Green Ribbon Group.
"Apa yang saya mahu ketengahkan adalah normalkan perbualan tentang kesihatan mental. Tiada masalah untuk bercakap tentang perasaan kita, sedih, gembira atau murung.
"Dengar, dan dengar bukan untuk membalas. Kerana kadang kala kita hanya mendengar hanya kerana berada dalam perbualan, dan tidak 'mendengar' tangisan meminta pertolongan yang mungkin kita tidak tahu."
Namun cabarannya adalah tidak semua orang menghetahui tahap kesihatan mental diri sendiri, serta takut dan malu untuk mencari jawapan kepada keresahan yang tidak henti menghantui minda. Mungkin kerana masyarakat kita yang terlalu menghukum, jelas Puteri Ariane, stigma ini yang perlu dan sedang cuba dihapuskan melalui Green Ribbon Group.
"Mungkin juga mereka bukanlah tidak peduli tentang kesihatan mental masing-masing. Cuma mungkin mereka tidak tahu, atau mereka menggalas tanggungjawab besar untuk menyara dan menguruskan keluarga sehingga lupa akan kesejahteraan diri sendiri.
"Jadi, kami di Green Ribbon Group berhasrat untuk membuka mata dan segala pintu bantuan yang sedia ada untuk dicapai masyarakat dengan lebih mudah," katanya.
Pokoknya, kesihatan mental ini adalah tanggungjawab kita semua bersama. Masyarakat sekeliling memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi kesejahteraan rohani dan jasmani seseorang.
Jauh di sudut hati, setiap individu ingin difahami. Ia tidak mustahil, jika kita semua cuba untuk mengamalkan serta memupuk sifat empati di dalam masyarakat.
"Setiap daripada kita adalah berbeza, dan kita tidak boleh menidakkan perasaan orang lain. Jika mereka berasa sedih atau resah, hormat perasaan mereka malah lebih baik jika kita cuba membantu.
"Kita bukan sahaja boleh membantu mereka dengan membawa mereka ke terapi atau seumpamanya. Malah, kita juga boleh membantu mereka dengan mengambil berat dan bertanyakan khabar mereka dengan penuh rasa belas dan secara ikhlas. Kadang kala perbuatan sekecil itu boleh meringankan beban mereka," ujarnya.
Kita harus berkelakuan baik, jangan jadi manusia yang jengkel, berhenti bercakap buruk, dan hadapi segalanya dengan tenang. Barulah dunia ini boleh menjadi tempat yang bahagia untuk semua.
Tonton temu bual penuh mereka dalam Agenda AWANI Khas bersama hos Cynthia Ng, di sini:
Agenda AWANI: Exclusive with Tengku Puteri Iman & Ariane
#Agenda Awani #Tengku Iman Afzan Abdullah #Puteri Nor Ariane Yasmin #kesihatan mental
;