Kesihatan mental: 1,000 pelajar B40 dijangka terima manfaat program My Mind Matters

Astro Awani
Disember 5, 2020 16:59 MYT
MY Mind Matters membolehkan pelajar meneroka kreativiti sebagai kaedah subliminal untuk mengelakkan tekanan perasaan yang dihadapi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) - Foto: Pintar Foundation
KUALA LUMPUR: Seramai 1,000 pelajar dari sembilan sekolah di Lembah Klang serta sebuah pertubuhan di Subang Mewah bakal menerima maanfat daripada My Mind Matters, yang dilancarkan Pintar Foundation dengan kerjasama HSBC Bank Malaysia Berhad.
Program yang dilancarkan secara maya itu bertujuan meningkatkan moral, memupuk kemahiran sosial serta mencetuskan pemikiran inovatif untuk menangani gangguan kesihatan mental dalam kalangan pelajar kumpulan B40 pasca COVID-19.
Pengerusi Pintar Foundation, Tun Dr Arshad Ayub berkata program tersebut menyasarkan pelajar berusia 13 dan 14 tahun yang terjejas teruk akibat wabak itu, sama ada dari segi psikologi mahupun ekonomi.
"Pandemik COVID-19 merupakan contoh situasi semasa yang boleh memberi tekanan kepada kehidupan harian masyarakat di Malaysia, mahupun di seluruh dunia.
"Dengan insiatif seperti ini, para pelajar akan lebih bermotivasi dan bersungguh-sungguh untuk belajar dan hadir ke sekolah terutamanya dengan sokongan dan perhatian yang telah diberikan.
"Saya amat berharap program ini juga dapat menerapkan ciri-ciri pemikiran yang kreatif dan inovatif supaya para pelajar dapat mengatasi kesukaran yang dihadapi untuk menjadi individu yang lebih berprinsip dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya pada majlis pelancaran di sini, pada Jumaat.
Jelas Arshad, My Mind Matters membolehkan pelajar meneroka kreativiti sebagai kaedah subliminal untuk mengelakkan tekanan perasaan yang dihadapi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Program tersebut turut memperuntukkan pakaian sekolah serta kit perlindungan COVID-19 kepada pelajar terbabit.
Antara sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Titiwangsa; SMK Padang Tembak; SMK Datok Lokman; SMK St. Gabriel; SMK Kiaramas; SMK Kepong; SMK Gombak Setia; SMK Bandar Seri Putra dan SMK Bandar Rinching.
#COVID-19 #Malaysia #PKP #MY Mind Matters #Yayasan PINTAR #HSBC #kesihatan mental #B40
;