Kesihatan, kesejahteraan mental satu keutamaan global - MPA
Kenyataan Media
Oktober 10, 2022 20:06 MYT
Oktober 10, 2022 20:06 MYT
ADALAH menjadi satu cabaran semenjak dahulu lagi bagi semua bidang profesional kesihatan mental untuk membawa isu berkait dengan kesihatan mental ini sebagai satu agenda utama bukan sahaja di kalangan masyarakat, bahkan dalam konteks sesebuah negara.
Mengapa ia harus menjadi satu agenda utama? Ini kerana, berdasarkan dapatan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada lapan individu mengalami isu kecelaruan mental di seluruh dunia.
Ini bermaksud bahawa sebegitu ramai individu di luar sana yang mengalami pelbagai bentuk gangguan emosi dan pemikiran seperti berasa gemuruh, ragu-ragu, bimbang, takut dan bercelaru.
Gangguan dan kecelaruan yang pelbagai ini akan mengakibatkan gangguan interpersonal yang bakal mengakibatkan pertelingkahan, permusuhan dan kemusnahan struktur sosial mereka yang terlibat.
Ini bakal membawa kepada kerosakan kepada sistem sokongan individu tersebut yang mempunyai impak negatif kepada proses pemulihan mereka kelak.
Selain itu, gangguan yang dialami oleh mereka ini juga akan mengganggu gugat tahap kefungsian individu tersebut.
Gejala yang dialami boleh menurunkan kecekapan, merencat keberhasilan, kehilangan kemampuan menyelesai permasalahan, ketidakhadiran dan pelbagai isu terkait fungsi mereka di tempat kerja.
Kefungsian sebagai seorang individu dalam struktur keluarga mahupun masyarakat juga terganggu akibat perubahan tingkahlaku dan personaliti yang bersifat merencat.
Permasalahan berpanjangan tanpa ada intervensi yang betul bakal menjerumuskan individu-individu ini kepada pelbagai masalah lain seperti isu berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang, alkohol dan nikotin; tingkahlaku yang boleh memudaratkan diri sendiri seperti mencederakan diri atau cubaan bunuh diri serta boleh mendatangkan mudarat kepada masyarakat secara tidak langsung atau secara langsung akibat tingkah laku yang tidak dapat dijangka.
Ditambah dengan ketidaktentuan global akibat cabaran pandemik, ketidakstabilan politik serantau dan ekonomi, golongan yang sedang mengalami gangguan kesihatan mental dan golongan rentan bakal berhadapan dengan tempoh yang sukar.
Gangguan kesihatan mental bersifat merencat kepada proses pemulihan kerana impak yang telah diterangkan di atas.
Keadaan ini boleh mewujudkan satu fenomena kegagalan yang bersifat menyeluruh jika gagal dibendung.
Inilah juga mengapa intervensi dan advokasi perlu dilakukan sesegera mungkin agar kita dapat melakukan satu anjakan paradigma dalam masyarakat yang sama-sama melihat isu kesihatan mental ini adalah isu yang tidak sesekali wajar dipandang enteng.
Stigma adalah satu cabaran kepada semua mereka yang ingin mendapatkan bantuan. Perasaan malu yang hadir dan kurangnya kefahaman terhadap isu kesihatan mental menghalang ramai di luar sana daripada mendapatkan rawatan.
Stigma ini datang daripada pelbagai arah dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan, pertubuhan-pertubuhan dalam masyarakat, golongan profesional dan pemimpin untuk mengurangkan impak stigma terhadap rawatan.
Di zaman ini, media sosial perlu dijadikan sebagai senjata yang digembleng untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan bersifat memandu bagi membantu memudahkan masyarakat mendapatkan bantuan.
Di sini perlunya kekuatan pemimpin untuk membawa agenda kesihatan mental ini sebagai agenda nasional.
Perkembangan profesion yang berkait dengan kesihatan mntal perlu diutamakan kerana kajian membuktikan bahawa intervensi oleh mereka yang ahli bakal memberikan manfaat bukan sahaja individu tersebut bahkan ekonomi negara.
Dengan kemajuan yang telah kita capai dalam aspek ketersediaan perkhidmatan, masih ada banyak lagi ruang untuk menambah baik.
Kita tidak seharusnya sekadar berpuas hati dengan pencapaian yang ada dan perlu terus menaiktaraf perkhidmatan sejajar dengan pertumbuhan negara.
Akhir kata, Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) menyokong kenyataan WHO untuk menjadikan kesihatan dan kesejahteraan kesihatan mental suatu keutamaan untuk semua.
Kami beriltizam untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, pempengaruh dan lain-lain pemegangtaruh bagi mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan mental untuk semua.
Kenyataan media daripada Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)