Kesihatan 'Fatimah London' semakin merosot, keluarga mohon doa

Hasimi Muhamad
Mei 29, 2024 23:37 MYT
Fatimah yang mempunyai kemahiran menguasai beberapa bahasa akan menjalani satu lagi biopsi. - Foto/Instagram thefamily.uk
KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan Fatimah Omar Mukhlis, 10 tahun, dilapor semakin merosot walaupun pendarahan yang dialami anak kedua daripada tiga beradik The Family UK itu telah berhenti sepenuhnya.
Perkembangan terbaharu mengenai kesihatan kanak-kanak itu dikongsi di laman Instagram thefamily.uk pada Rabu.
Menurut kemas kini tersebut, Fatimah yang mempunyai kemahiran menguasai beberapa bahasa akan menjalani satu lagi biopsi.
"Kami sekeluarga dengan penuh rendah diri dan pengharapan, ingin memohon jasa baik anda semua agar sudi untuk terus mendoakan kesayangan kami, Fatimah Omar Mukhlis.
"Semoga Allah permudahkan urusan biopsi Fatimah hari ini (Rabu) tanpa sebarang komplikasi. Semoga berkat doa ramai, Allah kurniakan keajaiban buat Fatimah," demikian menurut entri tersebut.
Dalam masa sama, The Family UK turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus bertanya khabar dan mendoakan kesihatan Fatimah.
"Semoga segala jasa baik anda semua dikurniakan ganjaran pahala berlipat kali ganda oleh Allah S.W.T," tambah kemas kini itu.
Sejak berusia tiga tahun, Fatimah mencuri perhatian ramai kerana kefasihan kanak-kanak itu bertutur dalam dialek Kelantan.
Selain Melayu, Fatimah yang dilahirkan di Birmingham, United Kingdom (UK), juga fasih berbahasa Inggeris dan Siam.
BACA: Fatimah alami pendarahan tanpa henti selepas pembedahan, keluarga mohon doa
#dialek Kelantan #beberapa bahasa #mencuri perhatian #ganjaran pahala
;