Kesiapsiagaan putuskan rantaian COVID-19
Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria
April 8, 2020 12:15 MYT
April 8, 2020 12:15 MYT
NEGARA kita masih berada dalam fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mahu tidak mahu PKP adalah arahan yang perlu dipatuhi dan jikan ingkar akan dikenakan tindakan. Tujuannya untuk memutuskan rantaian COVID-19 daripada terus merebak kepada masyarakat. Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes hampir mencecah 3800 orang dan 62 kematian. Sementara jumlah pertambahan kes baharu juga masih melebih 100 orang sehari, manakala jumlah yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula melebih 100 orang dan lebih 50% daripada pesakit bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Ironinya, boleh dianggap suatu jumlah yang menggerunkan dan memang patut PKP terus dikuatkuasakan demi keselamatan dan kesihatan rakyat. Andai tiada penguatkuasaan yang tegas mustahil ‘musibah’ ini dapat dinyah dengan cepat. Mungkin juga umat Islam bakal menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam suasana terperuk di rumah. Tiada lagi kunjung-mengunjung, rumah terbuka dan zirah-menziarah seperti amalan tahun-tahun lepas.
Kita bersyukur kerana pihak kerajaan begitu prihatin akan kegusaran rakyat. Ekoran itu, Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) diumumkan demi menjamin kesejahteraan rakyat. Terkini, Perdana Menteri mengumumkan RM10 billion lagi bagi pakej rangsangan ekonomi sebagai tambahan sebelum itu. Ternyata, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat kehilangan pekerjaan dan susut pendapatan, syarikat ‘gulung tikar’, dan pelajar terus terperap di rumah tanpa sebarang aktiviti pendidikan. Semua ini kesiapsiagaan bagi menghadapi virus halimunan yang hebat menyerang serata negara di dunia.
Hargai usaha kerajaan, manfaatkan masa
Namun, di sebalik usaha gigih pihak kerajaan menangani penularan wabak ini, masih kedengaran suara-suara sumbang yang mempertikai langkah yang diambil pihak kerajaan. Masih ada pihak yang cuba menangguk di air keruh memperlekeh bantuan pihak kerajaan demi laba politik. Ada pula yang sanggup menular pelbagai berita palsu berkaitan COVID-19 hingga menimbulkan keresahan rakyat. Tidak kurang juga kelompok ekstrem yang cuba mengaitkan punca virus ini untuk membangkitkan sentimen perkauman.
Cukup-cukuplah dahulu berpolitik dalam situasi ‘musibah’ seperti ini. Janganlah lagi kita tularkan tulisan-tulisan nakal menyindir atau mencaci mana-mana pihak lagi. Adalah lebih baik turun ke padang memberi bantuan serta kesedaran kepada masyarakat peri pentingnya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Tidak perlulah lagi kita membuat komen hantaran-hantaran berbaur politik hingga menimbulkan ketegangan dan perang siber dalam aplikasi WhatsApp. Manfaatkan sebaik mungkin masa PKP ini untuk mengukuhkan lagi silaturrahim sesama ahli keluarga.
Bagi pelajar, ulang kajilah pelajaran dengan bimbingan ibu bapa, manakala yang mempunyai kemudahan akses internet manfaatkan teknologi tersebut sebagai medium berbincang hal-hal persekolahan atau kursus di universiti. Sementara golongan remaja atau mereka yang sering keluar ‘mengeteh’ itu, belajarlah membatu ahli keluarga lain mengemas rumah. Kendati pun begitu, ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan ahli keluarga perihal mencegah wabak ini, misalnya sering membasuh tangan, memakai penutup mulut ketika di khalayak umum dan menggunakan cecair pembasmi tangan (hand sanitizer).
Patuhi arahan kerajaan, jangan ingkar
Sesungguhnya, “mencegah itu lebih baik, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Janganlah mempermainkan dan memperlekah atau mempertikai perintah yang dikeluarkan hingga mencabar arahan pihak berkuasa. Berdasarkan perkembangan semasa, mana mungkin dalam situasi ‘gawat’ seperti ini pihak kerajaan mengerahkan polis dan tentera untuk menyusahkan rakyat - jauh sekali menggunakan kekerasan demi memastikan rakyat patuh arahan. Perkara yang jelas berlaku adalah kerjasama antara pihak keselamatan membantu pihak kesihatan membendung dan mengawal virus ini daripada terus merebak.
Hal ini ada kaitannya dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 334). Tambahan pula, situasi sekarang seperti yang pernah dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba, bahawa Malaysia telah pun melepasi fasa onset dan fasa containment (pembendungan), dan kini fasa late containment, manakala fasa terakhir adalah fasa mitigation. Semua ini memerlukan tindakan yang lebih praktikal dan agresif agar selari dengan tuntutan maqasid syariah melalui prinsip hifz-an-nafs, iaitu memelihara nyawa.
Malahan, arahan menangguh sesi pembelajaran dan pengajaran di institusi pengajian tinggi, kolej, dan sekolah adalah langkah tepat bagi memutuskan rantaian virus ini daripada terus merebak. Begitulah juga dengan arahan menutup premis-premis perniagaan, pejabat, larangan berkumpul, mengadakan walimatul urus hatta bersolat jemaah di surau atau masjid juga praktikal dengan situasi ini. Semua langkah ini adalah demi memastikan kesihatan rakyat terus terpelihara dan pulih seperti sedia kala.
Hargai petugas keselamatan dan kesihatan
Insaflah, ketika kita diperintah kuarantin di rumah dan membatasi pergerakan keluar, para petugas kesihatan dan keselamatan sanggup bergadai nyawa menyelamatkan pesakit yang dijangkiti COVID-19, sehinggakan ada yang terpaksa bekerja tanpa had masa. Ada juga yang telah dijangkiti virus lantaran ingin menyelamatkan nyawa orang lain. Sekalipun itu adalah tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan, mereka juga mempunyai ahli keluarga, bukannya ‘hamba kerahan’ di hospital atau klinik mahu pun di jalan ketika mengadakan sekatan.
Sebagai rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab, janganlah bebankan petugas barisan hadapan (frontliner) dengan sikap degil kita. Jika kita tidak mampu menyumbang tenaga, idea atau wang ringgit, belajarlah ringankan beban mereka melalui cara tidak ingkar arahan PKP. Bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ambillah inisiatif menghulurkan bantuan kepada petugas-petugas keselamatan dan kesihatan. Sementara yang berkemampuan infaklah sekadar mampu sebagai tanda sokongan kepada petugas-petugas tersebut melalu saluran yang disediakan oleh pihak kerajaan. Kepada syarikat-syarikat korporat atau individu yang telah menyumbang kewangan kepada petugas keselamatan dan kesihatan wajarlah diberi pelepasan cukai oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri. Namun, semua hal ini perlu diurus secara sistematik sama ada oleh agensi kerajaan atau melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar agar tidak berlaku penyelewengan.
Bagi golongan kurang berupaya atau kelompok B40, gerakan bantuan melalui pusat khidmat masyarakat, persatuan penduduk atau Kelab Rukun Tetangga (KRT) demi meringankan kesempitan mereka. Oleh sebab tidak digalakkan bersua muka, maka yang berkemampuan bayarlah pembelian golongan tersebut melalui on-line di kedai-kedai berdekatan. Sementara bagi yang berkemahiran dan dihormati pula, teruskan usaha menasihati masyarakat agar patuh kepada setiap arahan pihak kerajaan. Sesungguhnya fasa lockdown ini mengajar kita untuk bersama-sama bersiapsiaga menghadapi pelbagai kemungkinan pada masa akan datang. COVID-19 adalah adalah virus kompleks yang menuntut kerjasama yang padu daripada semua pihak menanganinya. Rantaiannya akan putus dan lebih cepat dinyahkan jika setiap orang mematuhi langkah-langkah yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Akhirnya marilah kita bersama-sama mendoakan, “Ya Allah, wahai Tuhan kami, peliharalah kami dan sekalian kaum Muslimin. Elakkan kami dan juga sekalian kaum Muslimin daripada rasa takut dan bimbang. Peliharalah kami daripada kacau bilau, wabak penyakit, peperangan dan kezaliman. Dan selamatkan kami dan negara kami daripada segala keburukan yang telah Engkau takdirkan berlaku ke atas kami khususnya dukacita kami daripada COVID-19. Amin”.
* Penulis merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau, Perak
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semstinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#COVID-19
#kerajaan
#kesiapsiagaan
#Kolumnis AWANI
#penyakit
#perintah kawalan pergerakan
#petugas barisan hadapan
#PKP
#wabak