Kesiapsiagaan hadapi banjir di tahap tertinggi - Ahmad Zahid

Bernama
November 28, 2024 16:22 MYT
Ahmad Zahid berkata seramai 82,794 pegawai dan anggota diatur gerak bagi menghadapi banjir di beberapa negeri terjejas khususnya di Pantai Timur. -Bernama
PUTRAJAYA: Tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir di semua peringkat kini dipertingkatkan ke tahap tertinggi, memandangkan bencana itu dijangka lebih teruk berbanding pada 2014, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ringkasan AI
  • Kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir dipertingkatkan ke tahap tertinggi kerana bencana dijangka lebih teruk berbanding tahun 2014.
  • Seramai 82,794 pegawai dan anggota telah diatur gerak untuk menghadapi banjir di beberapa negeri terjejas, khususnya di Pantai Timur.
  • Sebanyak 8,481 PPS telah dikenalpasti, mampu menampung 2.1 juta mangsa di seluruh negara, dengan pelbagai aset keselamatan seperti bot penyelamat, kenderaan pacuan empat roda, dan helikopter turut digerakkan.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, seramai 82,794 pegawai dan anggota diatur gerak bagi menghadapi banjir di beberapa negeri terjejas khususnya di Pantai Timur.
Beliau berkata kerajaan telah mengenal pasti 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung 2.1 juta mangsa di seluruh negara bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
"Di Kelantan, kita ada 448 PPS yang boleh menampung seramai 175,000 orang dan Terengganu, 749 PPS disediakan untuk menampung kira-kira 214,000 mangsa.
"Jadi dalam keadaan (banjir) yang begitu, kerjasama semua pihak telah dimobilisasikan (memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir di sini hari ini.
Beliau berkata pelbagai aset pasukan keselamatan turut digerakkan antaranya 2,031 bot penyelamat, 1,399 kenderaan pacuan empat roda serta 31 buah helikopter.
#banjir #Zahid Hamidi #NADMA #monsun timur laut
;