'Kesian, jumpa tepi jalan' - Wanita beri sebab kurung beruang matahari

Hasimi Muhamad
Jun 8, 2019 13:13 MYT
Wanita yang ditahan menyimpan anak beruang matahari di dalam unit kondominiumnya beri alasan terjumpa haiwan itu di tepi hutan. -Foto Facebook/Ida Shereena
“Jumpa tepi jalan.”
Itu alasan yang diberikan seorang wanita yang ditahan kerana menyimpan anak beruang matahari di dalam unit kondominiumnya di Desa Pandan, di sini, pada Jumaat.
Ketua Pengarah Perhililtan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata wanita berusia 27 tahun itu mendakwa menemui haiwan itu berkeliaran bersendirian berdekatan sebuah hutan.
“Sebab kesian, dia (wanita terbabit) ambil untuk jaga beruang matahari itu.
“Tetapi siasatan kami percaya bahawa haiwan itu diperoleh daripada seseorang (sindiket). Kebiasaan juga anak beruang diambil selepas kematian ibunya atau dibunuh.
"Maka, anaknya ‘tiada orang jaga’ dan diambil,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Sabtu.
Abdul Kadir berkata beruang matahari itu dipercayai berusia kurang enam bulan.
“Setakat ini, haiwan itu masih berada dalam jagaan Perhilitan dan kita akan membuat pemantauan sebelum menghantarnya ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Sungkai.
“Ikut prosedur, haiwan itu akan dijaga terlebih dahulu dan selepas penilaian, beruang matahari itu akan dilepaskan semula ke hutan apabila sudah mencapai usia setahun lebih,” ujarnya.
Ditanya sama ada orang ramai dibenar memelihara haiwan seperti beruang matahari, katanya, “Secara dasarnya Perhilitan tidak memberikan kebenaran untuk individu atau orang awam memelihara hidupan liar terancam seperti beruang.”
BACA: Ara Johari terpalit tuduhan simpan beruang matahari.... - Ini penjelasan empunya badan
BACA: Penyanyi wanita ditahan kerana simpan anak beruang matahari
BACA: Jiran terkejut beruang 'minta' makanan
Mengulas lanjut, beliau berkata kebenaran hanya akan diberikan kepada pihak zoo untuk memelihara haiwan-haiwan terancam dan prosedur permohonan perlu dibuat kepada Perhilitan, selain memerlukan kelulusan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.
“Beruang adalah spesies terancam yang dikategorikan sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.
Katanya lagi, wanita itu kini disiasat kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran Perhilitan.
“Bagaimanapun, tarikh untuk perbicaraan masih belum diketahui kerana siasatan sedang berjalan. Namun, laporan polis telah dibuat terhadap wanita itu,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi lima saat serta gambar kepala beruang matahari cuba keluar dari tingkap kondominium kediaman wanita itu tular di media sosial.
#Akta 716 #Akta Pemuliharaan Hidupan Liar #beruang matahari #haiwan terancam #hidupan liar #laman sosial #video tular
;