Kesesakan tol RFID: Semua pihak terlibat dipanggil berbincang - Nanta
Afiezy Azaman
Januari 12, 2023 10:55 MYT
Januari 12, 2023 10:55 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua pihak terlibat telah dipanggil bagi menyelesaikan isu kesesakan dan gangguan transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Beliau memaklumkan perkara itu selepas menerima aduan melalui akaun Twitter Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkaitan perkara itu, yang dipanjangkan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
"Salam dan selamat pagi brother Loke. Saya sedar sepenuhnya tentang isu ini. Saya juga sudah memanggil semua pihak terlibat untuk mengadakan perbincangan secepat mungkin," katanya.
Abdul Rahman melalui ciapannya kepada Loke menzahirkan kekecewaan berkaitan ketidakcekapan RFID dan menyatakan isu tersebut telah berlarutan terlalu lama.
"MyRFID ini sangat mengecewakan! Daripada membuat lalu lintas lancar, kecekapannya sangat tidak menentu sehingga anda tidak yakin untuk memandu ke lorong tersebut!
"Rakyat Malaysia bertolak ansur untuk beberapa bulan pertama bagi membenarkan percubaan dan kesilapan. Tetapi ini telah berlalu terlalu lama! Tolonglah bro Loke," katanya.
Sementara itu, Loke yang memberi respon terhadap ciapan itu berkata, RFID di plaza tol bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.
"Salam bro. RFID di plaza tol bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan. Ia di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia.
"Bagaimanapun, saya akan berbincang dengan Nanta (Menteri Kerja Raya). Terima kasih atas maklum balas," ujarnya.