Kesesakan Tambak Johor: Kerajaan perluas penggunaan kod QR kepada kereta tahun ini

Bernama
Mac 3, 2025 14:40 MYT
Kerajaan akan memperluas penggunaan kod QR bagi urusan Imigresen di Johor kepada kereta tahun ini, selepas kejayaan pelaksanaan untuk penumpang bas dan penunggang motosikal. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperluas penggunaan kod respons pantas (QR) bagi urusan Imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor kepada kereta tahun ini.

Ringkasan AI
  • Kerajaan akan memperluas penggunaan kod QR bagi urusan Imigresen di Johor kepada kereta tahun ini, selepas kejayaan pelaksanaan untuk penumpang bas dan penunggang motosikal.
  • Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berharap langkah ini akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara.
  • Projek Rapid Transit System (RTS) dijangka siap menjelang 31 Disember 2026, yang akan membawa 10,000 hingga 20,000 penumpang setiap jam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelaksanaan proof-of-concept itu akan diteruskan susulan perlaksanaan terhadap dua jenis pengangkutan iaitu penumpang bas dan penunggang motosikal sebelum ini dalam menangani kesesakan di Tambak Johor.
"Dengan adanya segala usaha untuk meningkatkan dari segi perkhidmatan, menggunakan teknologi, penambahbaikan infrastruktur dan sistem, kita dapat mengurangkan (kesesakan) laluan kepada pengguna motosikal dan juga bas...dengan kod QR ini, hanya tiga saat dapat diselesaikan (urusan Imigresen).
"Kita akan teruskan proof-of-concept ini untuk menggunakan kepada laluan kereta juga...jadi diharapkan itu akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kita untuk keluar masuk rakyat atau pun pengunjung di Malaysia, terutamanya di Johor," katanya.
Fadillah berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 1 Tahun 2025, di sini hari ini.
Fadillah berkata dengan adanya hab pelaburan antara Malaysia dan Singapura di Johor, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan persiapan Tahun Melawat 2026, tindakan segera perlu diambil dalam menangani kesesakan dan memastikan kelancaran di pintu masuk negara.
Selain itu, beliau berkata mesyuarat hari ini turut bersetuju secara prinsip bahawa jawatankuasa ini bukan hanya menumpukan kepada kemasukan di Johor tetapi akan diperluas ke semua pintu masuk antarabangsa negara.
Beliau berkata model yang diterapkan di Johor akan dijadikan rujukan untuk pelaksanaan di lokasi lain bagi memastikan kelancaran kemasukan pelawat dan pelabur.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggunaan kod QR bagi pelepasan Imigresen di BSI dan KSAB, Johor yang mula dilaksanakan tahun lepas terhadap motosikal dan penumpang bas telah dibuktikan berkesan.
Sebagai perbandingan, beliau berkata sebelum ini sebanyak 90 motosikal melepasi sesebuah lorong pemeriksaan dalam tempoh 15 minit, namun menerusi perlaksanaan kod QR, sebanyak 150 motosikal dicatatkan melepasi lorong pemeriksaan dalam tempoh sama.
"Memandangkan kejayaan ini, perhatian kini diberikan kepada pengguna kereta, kerana setelah kesesakan bagi motosikal dan bas berkurangan, kini pengguna kenderaan persendirian menjadi kumpulan paling terkesan.
"Oleh itu, jawatankuasa akan turut berganjak mencari jawapan kepada kesesakan di pintu masuk lain seperti Rantau Panjang, Sadao, Bukit Kayu Hitam, Padang Besar dan pintu masuk udara seperti di KLIA, Pulau Pinang, Kota Kinabalu serta Kuching," katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata projek Rapid Transit System (RTS) dijangka siap mengikut jadual iaitu menjelang 31 Dis 2026 yang dapat membawa 10,000 hingga 20,000 penumpang setiap jam.
"Justeru, persiapan awal diperlukan bagi memastikan penyuraian trafik yang berkesan di Bukit Chagar di sebelah Malaysia dan lokasi RTS di Singapura," katanya.
Beliau juga berkata turut dibincangkan ialah keperluan menggantikan dan menyelenggara kemudahan lama seperti eskalator dan lif yang sudah berusia lebih 10 hingga 15 tahun, dengan jumlah perbelanjaan yang akan dipohon untuk tujuan itu telah dikenal pasti.
-- BERNAMA
#Fadillah Yusof #Tambak Johor #kod QR #urusan Imigresen di Johor
;