Kesesakan Tambak Johor: Kerajaan bincang dengan Singapura ubah laluan kenderaan komersial
Khalis Khadir
November 18, 2024 17:21 MYT
November 18, 2024 17:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang kesesuaian mengubah laluan kenderaan komersial dari Stesen Woodlands ke Tuas sebagai usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengetuai perbincangan dengan pihak Singapura bagi melaksanakan tujuan itu.
"Satu kajian akan dibuat bersama Singapura untuk melihat aliran pergerakan kenderaan komersial bagi cadangan tersebut dan mengkaji kesesuaian bagi mengubah laluan kenderaan komersial," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengatasi Kesesakan di Tambak Johor, Sesi Dua 2024 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini, pada Isnin.
Dalam masa sama, Saifuddin berkata, pihaknya turut mencadangkan penambahbaikan pas sedia ada seperti pas De Rantau Nomad bagi membolehkan golongan profesional dan tenaga mahir tinggal di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tetapi bekerja di Singapura.
Beliau memaklumkan 22 daripada 52 inisiatif yang mewakili 42 peratus usaha menangani kesesakan di Tambak Johor sudah siap dilaksanakan setakat ini dan 10 inisiatif sedang dilaksanakan.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri Johor menyambut baik perbincangan dalam mesyuarat berkenaan.
"Kita akan sentiasa membantu sedaya upaya untuk membantu Kerajaan Persekutuan tangani kesesakan di Tambak Johor," ujarnya.