Kesesakan pesakit COVID-19, HTAR perlu RM20 juta sekarang - Ahli Parlimen Klang

Nailah Huda
Julai 9, 2021 13:47 MYT
Semalam, penempatan katil tambahan bagi pesakit COVID-19 di luar Jabatan Kecemasan HTAR terpaksa dilakukan sementara menunggu kekosongan katil wad.- Foto/ FB Charles Santiago
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyuntik peruntukan RM20 juta kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk menyelamatkan nyawa pesakit COVID-19, kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.
Beliau berkata, sumbangan 100 katil daripada Kementerian Kesihatan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dialu-alukan, namun bantuan tersebut masih tidak mencukupi susulan kenaikan kes harian.
“Situasi di Hospital Klang amat kritikal - tiada katil, tiada makanan untuk pesakit, doktor-doktor kepenatan bekerja 14-16 jam sehari, peralatan perubatan tidak mampu menampung.
“Suntikan wang RM 1.1 juta daripada kerajaan Persekutuan tidak munasabah. Mudah sahaja - sebuah ventilator sahaja bernilai RM200,000. Lima ventilator tidak cukup.
“Berbanding penyelesaian sementara yang kita tidak mampu pada ketika ini, saya mendesak kerajaan supaya menyalurkan wang kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah segera bagi menyelamatkan nyawa," dakwanya dalam akaun Twitternya malam ini.
BACA: COVID-19: Pesakit ditempat di luar Jabatan Kecemasan HTAR untuk sementara - Dr Sha'ari
Beliau berkata, peruntukan RM20 juta itu diperlukan bagi menambah baik infrastruktur kesihatan di hospital tersebut termasuk fasiliti unit rawatan rapi (ICU), tangki oksigen dan katil.

Pump in RM20mil to Klang GH immediately ! My friend sent food to his mother-in-law, a Covid-19 patient at Hospital Tengku Ampuan Rahimah, last night. She received it this morning. The food had obviously gone stale. pic.twitter.com/gSjSwYh1sx

— Charles Santiago (@mpklang) July 9, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Charles turut menggesa supaya graduan perubatan dan doktor-doktor kontrak ditugaskan semula dengan perjanjian pengambilan kerja secara tetap.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen berkenaan turut mendakwa, rakannya menghantar makanan kepada ibu mentuanya, seorang pesakit COVID-19 di HTAR malam tadi, namun hanya menerimanya pagi tadi dalam keadaan sudah basi.
Semalam, mengulas mengenai penularan gambar katil pesakit COVID-19 ditempatkan di luar Jabatan Kecemasan HTAR, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, menjelaskan ia adalah untuk sementara.
Katanya, penempatan katil tambahan di kawasan itu terpaksa dilakukan sementara menunggu kekosongan katil wad.
Beliau menjelaskan, semua pesakit yang ditempatkan di kawasan itu telah dirawat terlebih dahulu di Jabatan Kecemasan.
#HTAR #Hospital Tengku Ampuan Rahimah #Klang #ahli Parlimen #Charles Santiago #Doktor #bantuan #katil #KKM #ATM #unit rawatan rapi #ICU #COVID-19