Kesesakan luar biasa, graduan USM nekad kendong jubah tumpang motosikal hadir konvokesyen

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 24, 2022 16:05 MYT
Kevin nekad turun dari kenderaan yang dinaikinya dan mencuba nasib menahan penunggang-penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke Pulau.- Foto USM
GEORGE TOWN: Seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM) lega apabila sempat menghadiri upacara konvokesyen hari ini selepas terperangkap lebih dua jam dalam kesesakan luar biasa yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang pagi tadi.
Kevin a/l Rayappan, 28, berkata, dia nekad turun dari kenderaan yang dinaikinya bersama ibu bapa dan mencuba nasib menahan penunggang-penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke Pulau untuk menumpang motosikal mereka.
Dia bersyukur apabila ada penunggang motosikal yang sudi menumpangkannya hingga ke USM sehingga dia sempat meraikan kejayaan menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan bersama rakan-rakan dalam majlis tersebut.
Mengulas kejadian sebelum itu, Kevin berkata, dia bersama ibu bapanya keluar dari kediaman mereka di Seberang Jaya pada jam 6.30 pagi namun tidak menyangka kesesakan teruk ekoran kemalangan maut yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang.
“Saya memang sudah panik sebab jam sudah menunjukkan pukul 9.00 pagi, namun saya bersama kedua ibu bapa masih tersekat dalam kesesakan luar biasa di Jambatan Pulau Pinang.
“Saya nekad turun bersama jubah konvokesyen dan cuba nasib tahan penunggang motosikal yang sudi tumpangkan saya untuk ke Upacara Konvokesyen USM,” katanya.
Kevin berkata, dia amat terharu kerana masih ada insan yang baik hati sudi membantu.
“Saya tidak sempat berbual panjang dengan insan mulia tersebut yang sanggup tumpangkan saya kerana dalam keadaan tergesa-gesa namun saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada beliau,” kata Kevin.
Sebelum itu, tular di laman sosial apabila Kevin dilihat sedang memegang jubah konvokesyen di atas jambatan sambil mencuba nasib menahan penunggang-penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke pulau.
Ujar Kevin, tanpa bantuan insan tersebut, dia tidak mungkin dapat sempat merasa naik ke pentas untuk menerima skrol ijazah hari ini.
Dalam masa yang sama, dia turut gembira apabila kedua-dua ibu bapanya, Rayappan, 62 ,dan Mary, 48, yang meneruskan pemanduan juga sempat tiba di USM untuk menyaksikannya menerima ijazah.
Dalam pada itu, pihak pengurusan Universiti dan Sekretariat Upacara Konvokesyen ke-59 USM menangguhkan upacara selama 30 minit berikutan keadaan itu.
Upacara konvokesyen yang sepatutnya bermula pada jam 10.00 pagi ditangguhkan sehingga ke 10.30 bagi memberi laluan kepada mereka yang terkesan dengan kesesakan akibat dari kemalangan itu.
Dalam kejadian kemalangan awal pagi tadi, seorang pemandu lori dan seorang kelindan maut apabila kenderaan mereka naiki merempuh bahagian belakang sebuah treler di kilometer 8.6 Jambatan Pulau Pinang, dari arah Perai menghala ke Pulau.
Kemalangan tersebut menyebabkan ribuan pengguna Jambatan Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan yang teruk di atas jambatan serta jalan susur masuk ke jambatan.
#graduan USM #tumpang motosikal #Kevin a l Rayappan #konvokesyen #jubah
;