Kesesakan lebuh raya: Peningkatan kenderaan jauh melepasi jangkaan - Bukit Aman

Fareez Azman
Januari 29, 2022 20:23 MYT
Menurut Bukit Aman, peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya pada musim cuti kali ini melepasi jangkaan awal. - Gambar/ Bernama
GOMBAK: Bilangan kenderaan yang berada di semua lebuh raya sempena cuti Tahun Baharu Cina hari ini meningkat sebanyak 17.5 peratus, iaitu 4.11 juta kenderaan berbanding jangkaan awal 3.5 juta.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Bakri Zainal Abidin, jumlah itu jauh melepasi jangkaan sebelum ini.
"Memang hari ini semua sektor lebuh raya di Utara, Selatan dan Timur mengalami kesesakan luar biasa, terutama yang menghala ke Pantai Timur bermula pagi tadi apabila berlaku kemalangan melibatkan sembilan buah kenderaan.
"Aliran trafik hari ini di sektor Lebuhraya PLUS pula mencecah 1.6 juta dan saya nasihatkan pengguna jalan raya bersabar dan kekalkan pemanduan berhemah," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Plaza Tol Gombak pada Sabtu.
BACA: Trafik sesak 40 kilometer di Lebuhraya KL-Karak
Tambah Bakri, setiap pengguna lebuh raya dinasihatkan agar mengikut undang-undang dan peraturan jalan raya ketika menempuh kesesakan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
"Ketika kesesakan luar biasa ini ramai akan stres jadi kawal diri dan jangan cetuskan perkara tidak diingini dan rancang perjalanan anda.
"JSPT akan terus melakukan pemantauan dan operasi bagi melancarkan aliran trafik demi keselesaan pengguna jalan raya pada waktu puncak," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai kesesakan aliran trafik yang berlaku, jelas Bakri pihaknya telah menjangkakan keadaan berkenaan berlaku bermula 28 Januari sehingga 5 Februari depan.
"Masyarakat kita akan ambil kesempatan cuti panjang, jadi kita jangka dari semalam 28 Januari sehingga 5 Februari berlaku kesesakan apabila aliran trafik meningkat.
Sementara itu, pemerhatian Astro AWANI di Plaza Tol Gombak mendapati kesesakan aliran trafik luar biasa berlaku bermula pagi tadi dan dijangka berlarutan sehingga lewat malam.
Ini disebabkan rata-rata warga kota mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman ketika cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina.
#Tahun Baharu Cina #trafik sesak #lebuh raya #Bukit Aman
;