Kesesakan jalan, hasil padi serta kenaikan elaun TVET tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Bernama
Mac 11, 2024 09:20 MYT
Mac 11, 2024 09:20 MYT
KUALA LUMPUR: Isu berkaitan kesesakan jalan raya, peningkatan hasil padi serta kenaikan elaun bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah strategi dan tindakan yang diambil kerajaan bagi mengatasi masalah ketidakcekapan sistem jalan raya khususnya di bandar-bandar utama, pada sesi soal jawab lisan.
Hal itu katanya menyebabkan rakyat secara purata membazirkan masa hampir 500 jam setahun.
Pada sesi sama Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah penambahbaikan yang akan dilakukan kementerian khusus bagi pembangunan dan peningkatan hasil padi di negeri-negeri luar jelapang.
Persidangan Dewan Rakyat juga dijadual membincangkan perancangan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk memperkasakan lagi program TVET menerusi pusat GiatMARA bagi melahirkan lebih ramai anak muda yang mahir dalam bidang automotif dan kemahiran lain.
Isu berkenaan diajukan oleh Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau juga meminta kementerian menyatakan sama ada kerajaan boleh mempertimbangkan kenaikan elaun RM200 ke RM500 sebulan bagi menggalakkan lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam bidang TVET.
Usai sesi itu, Menteri Kewangan dijadual akan membentangkan Rang Undang-Undang Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024 bagi bacaan kali pertama, diikuti penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula hari ini.
Pembentangan serta perbahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada 18 hingga 27 Mac.
Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 ini berlangsung selama 19 hari hingga 27 Mac ini dan seramai 160 Ahli Parlimen telah selesai membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di persidangan Dewan Rakyat bermula 27 Feb hingga 7 Mac lepas.
-- BERNAMA