Kesepakatan petani, amalan pertanian betul mampu tingkat pengeluaran padi

Bernama
Ogos 21, 2023 05:45 MYT
Mohamad berkata kesepakatan dan amalan pertanian betul seperti Projek SMART SBB Mini Sekinchan MADA juga dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import. - Foto fail/BERNAMA
ARAU: Kesepakatan petani dan penggunaan amalan pertanian yang betul mampu meningkatkan pengeluaran padi dan beras negara pada masa akan datang, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata kesepakatan dan amalan pertanian betul seperti Projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Mini Sekinchan MADA juga dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import.
"Ini merupakan satu daripada usaha awal kerajaan sebelum projek pengairan baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melibatkan prasarana bernilai RM3 bilion dilaksana bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi kepada lima musim dalam tempoh dua tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Santai Agro Madani Penuaian Padi Projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Mini Sekinchan MADA Kampung Lat 1000 pada Isnin.
Turut hadir Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pertubuhan Peladang Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Razali Saad.
Mohamad berkata beliau dapat melihat sendiri bahawa projek tersebut berjaya membuahkan hasil apabila padi di kampung Lat 1000 mengeluarkan isi buah penuh dan berkualiti.
"Jika dilihat hasil padi paling tinggi di Malaysia adalah di Sekinchan apabila mereka memperoleh sehingga 12 tan hasil padi bagi setiap hektar dan di sini kita berjaya hasilkan kira-kira 10 tan bagi setiap hektar.
"Sekiranya setiap petani dapat hasilkan tujuh tan setiap hektar, saya yakin kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada beras import pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata usaha segera perlu dilakukan bagi memastikan bekalan beras negara sentiasa mencukupi dan ini yang sedang dilakukan oleh kerajaan serta dalam masa yang sama dapat meningkatkan pendapatan petani.
Katanya beliau juga telah membuat arahan penggunaan mesin padi bersaiz lebih kecil dan ringan bagi mengelak berlaku tumpahan padi.
"Hari ini dapat lihat bahawa tumpahan padi amat kurang dan kita dapat selamatkan tumpahan sebanyak lapan peratus," katanya.
Projek SMART SBB Mini Sekinchan MADA di Kampung Lat 1000 melibatkan keluasan tanah 97.70 hektar dengan 28 peserta manakala 75.268 hektar melibatkan 51 peserta diusahakan di Kampung Tok Mengkula, Air Hitam, Kedah.
-- BERNAMA
#Mohamad Sabu #mada #mesin padi #pendapatan petani
;