Kesepakatan kerajaan negeri dan pusat faktor kejayaan Selangor
Astro Awani
Disember 30, 2012 07:04 MYT
Disember 30, 2012 07:04 MYT
Kesengsaraan rakyat Selangor hanya akan berakhir apabila pentadbiran kerajaan negeri adalah sama dengan persekutuan.
Veteran Umno Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, kelainan pentadbiran menyebabkan proses kemajuan negeri terbantut sekali gus menyusahkan rakyat.
Ujar Rahman, kerajaan Selangor hari ini lebih suka menghabiskan kewangan negeri dengan membuat poster dan propaganda untuk menipu rakyat.
“Saya fikir faktor paling penting sekali yang menyebabkan kesengsaraan rakyat apabila kerajaan negeri tak bersama kerajaan persekutuan.”
Namun tegas Rahman, masih ada kelemahan Barisan Nasional dan BN Selangor yang harus diperbetulkan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
“Cuma kalau ada skru-skru yang longgar perlu diketatkan. Secara keseluruhannya, di kawasan saya iaitu Kapar kita sudah bersedia pada bila-bila masa.”
Ujarnya, rakyat Selangor sendiri sudah dapat menilai keikhlasan kerajaan Selangor yang lebih gemar memberi janji manis daripada membela kebajikan masyarakat sendiri.