Kesepaduan kerajaan tentukan minat pelabur, pulihkan pasaran modal - Pakar ekonomi
Irfan Faruqi
Jun 19, 2023 22:06 MYT
Jun 19, 2023 22:06 MYT
KUALA LUMPUR: Keyakinan pelabur bergantung kepada keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menonjolkan kesepaduan kerajaan yang dipimpinnya.
Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, sosok individu Anwar semata-mata belum cukup untuk menjadi daya penarik pelabur dalam pasaran domestik.
“Kita lihat apabila Kerajaan Madani diumumkan pada Januari lalu, Bursa Malaysia meningkat dan kadar pertukaran Ringgit Malaysia kepada Dolar Amerika juga sangat baik pada tahap 4.24, terbaik dalam beberapa tahun.
“Tetapi kita hanya bertahan dalam masa kurang dari dua minggu. Ia berlaku kerana banyak spekulasi mengenai politik di Malaysia kerana sebelumnya Malaysia alami tiga kali pertukaran Perdana Menteri dalam tempoh kurang daripada dua tahun, itu mungkin difikirkan sudah menjadi tradisi dalam negara.
“Tetapi saya lihat, kerajaan baharu ini dapat memupuk sokongan yang baik oleh Perdana Menteri. Tinggal lagi, adakah Kabinet Perdana Menteri ini dilihat sebagai satu pasukan yang kukuh. Keyakinan pelabur akan bergantung kepada keupayaan Perdana Menteri menonjolkan kepada penganalisis dan pelabur bahawa kerajaan kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI, mengupas topik ‘Cipta ‘Kekayaan’ untuk Rakyat’ pada Isnin.
Selain itu, Barjoyai menyatakan keberkesanan tindakan kerajaan untuk menyemarakkan pasaran modal perlu dilihat kepada reaksi pelabur luar negara.
Jelasnya, 20 peratus pegangan di Bursa Malaysia adalah di tangan pelabur asing, yang ketika ini dilihat lebih cenderung menyalurkan dana ke pasaran saham Indonesia dan Vietnam.