Kesemua tahanan GISB ada dokumen, rakyat Malaysia - KDN

Sinar Harian
September 23, 2024 16:45 MYT
Semakan mendapati kesemua yang ditahan dan diselamatkan di bawah Op Global ini mempunyai dokumen pengenalan diri dan merupakan warganegara Malaysia. - Gambar fail/Reuters
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan kesemua tahanan Op Global yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd mempunyai dokumen pengenalan diri.
Menerusi kenyataan, KDN memaklumkan hasil semakan Jabatan Pendafatran Negara (JPN) mendapati kesemua mereka adalah warganegara Malaysia.
"JPN telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membuat proses semakan identiti berdasarkan dokumen pengenalan diri atau cap jari berpandukan kepada rekod data terkini.
"Sehingga 21 September, semakan mendapati kesemua yang ditahan dan diselamatkan di bawah Op Global ini mempunyai dokumen pengenalan diri dan merupakan warganegara Malaysia," katanya pada Isnin.
Jelas kementerian itu, pihaknya komited untuk memudah cara dan membantu kanak-kanak yang diselamatkan dalam operasi berkenaan mendapatkan dokumen pengenalan diri serta status kewarganegaraan selayaknya.
Ia selaras dengan perundangan yang berkuatkuasa sekiranya mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan taraf kewarganegaraan.
"Semakan mengenai dokumen pengenalan diri dan status kewarganegaraan individu-individu yang ditahan dan diselamatkan dalam Ops Global ini akan dilaksanakan secara berterusan JPN sepanjang operasi," kata KDN.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan isu berhubung nasab sebahagian kanak-kanak penghuni rumah amal GISBH yang diselamatkan akan dibawa kepada mahkamah syariah negeri.
Penentuan sah taraf sebahagian anak GISB adalah penting demi masa depan mereka.
Apabila mahkamah mengisytiharkan bahawa anak itu adalah anak yang sah taraf barulah boleh didaftarkan JPN.
Pada 11 Sept lepas, polis menyelamatkan 392 kanak-kanak dan remaja berumur antara satu dan 17 tahun, dari 20 rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi yang dinamakan Op Global. -- Sinar Harian
#GISB #Op Global #Kementerian Dalam Negeri #warganegara Malaysia
;