Kesemua mayat pemancing lemas di Sungai Gasi ditemui
Astro Awani
Februari 20, 2018 21:57 MYT
Februari 20, 2018 21:57 MYT
Kesemua mayat pemancing yang lemas di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh telah ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Mayat terakhir dikenalpasti sebagai Rapawi Jum'ada, 37 ditemui sekitar jam 4:45 petang, kira-kira 24 kilometer dari lokasi kejadian.
Manakala mayat pemancing keempat, Jeleha Hashim, 48 ditemui oleh pasukan SAR kira-kira jam 3.45 petang.
Mangsa ditemui berhampiran Desa Coalfields di sini, kira-kira 19 kilometer dari lokasi kejadian di Sungai Gasi.
Sebelum itu, mayat mangsa ketiga Silawati Zailan, 31 ditemui berhamipran Paya Jaras Hilir sekitar jam 12:30 tengah hari.
Kesemua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.
Operasi SAR melibatkan kekuatan 70 anggota bomba bersama agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pada Isnin, kesemua mangsa termasuk dua wanita lemas, selepas dihanyutkan arus deras sungai ketika sedang memancing berhampiran Kem Tentera Sungai Buloh, kira-kira jam 5 petang.