Kesemua anak kapal dan anggota misi 'Women's Boat To Gaza' selamat - Pengerusi MyCARE

Hilal Azmi
Oktober 6, 2016 11:03 MYT
Kapal layar Zaytouna-Olivia berserta tiga krew dan 10 orang anak kapal telah ditawan oleh tentera Israel kira-kira 8.58 malam pada Rabu. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Kesemua 13 ahli dan anak kapal misi kemanusiaan 'Women's Boat To Gaza' (WBG) yang berada di atas kapal Zaytouna-Oliva kini berada dalam keadaan selamat.
Perkara itu disahkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dalam satu sidang media yang diadakan di sini sebentar tadi.
"Berdasarkan laporan terkini daripada bilik gerakan Freedom Flotilla Coalition (FFC), pihak kami juga mengesahkan kesemua ahli misi dan anak kapal Zaytouna-Oliva termasuk Dr Fauziah dalam keadaan selamat.
Selain itu, MyCARE juga mahu Malaysia menggunakan kedudukannya sebagai ahli tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk membawa usul tergempar mengencam tindakan Israel merampas kapal Zaytouna-Oliva secara haram.
MyCARE turut menggesa badan dunia itu menggunakan kesemua peruntukan yang ada bagi menjamin keselamatan semua ahli misi dan anak kapal sehingga mereka dibebaskan semula.
"PBB, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Kerjasama Islam dan semua forum antarabangsa juga harus memainkan peranan dengan mengutuk polisi Israel yang mengenakan sekatan secara kolektif ke atas Gaza dan mendesak Israel supaya menghentikan sekatannya," katanya.
Katanya lagi penahanan tersebut adalah sangat tidak wajar memandangkan rombongan misi itu datang ke Gaza, Palestin secara aman tanpa sebarang senjata dan melakukan provokasi.
"Ahli misi datang ke Gaza hanya dengan tujuan membawa mesej solidariti dan tindakan Israel menghalang kapal itu memasuki perairan antarabangsa jelas mencabuli undang-undang maritim antarabangsa," katanya.
Misi tersebut juga membawa mesej mahu Israel menghentikan sekatan yang dibuat lebih 10 tahun ke atas Palestin.
Kapal layar Zaytouna-Olivia berserta tiga krew dan 10 orang anak kapal telah ditawan oleh tentera Israel kira-kira 8.58 malam pada Rabu.
Turut berada di dalam kapal berkenaan ialah wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan.
Kapal Zaytouna itu dilaporkan telah ditunda oleh tentera Israel menuju ke pelabuhan Ashdod.
Menurut laman web Freedom Flotilla website, selain Dr Fauziah, 12 anggota lain misi terbabit adalah:
1. Madeleine Habib, Kapten kapal dari Australia
2. Ann Wright, Ketua misi dan bekas diplomat dari Amerika Syarikat
3. Marama Davidson, Ahli Parlimen New Zealand
4. Synne Sofie Reksten, pelajar dan anak kapal dari Norway
5. Sandra Barrilaro, Jurugambar dari Sepanyol
6. Samira Douaifia, Ahli Parlimen dari Algeria
7. Leigh Ann Naidoo, juara bola tampar dari Afrika Selatan
8. Jeannette Escanilla, Ahli Parlimen dari Sweden
9. Emma Ringqvist, guru muzik dan anak kapal dari Sweden
10. Mairead Maguire, Penerima hadiah Nobel Peace Laureate dari Ireland Utara
11. Hoda Rakhme, juruvideo/editor dari Al-Jazeera, menetap di Moscow
12. Mina Harballou, wakil Al-Jazeera, menetap di London
Pelayaran mereka bermula pada 14 Sept dari pelabuhan Vell, Barcelona, Sepanyol dan berhenti di Ajaccio, Perancis bagi pusingan pertama pada 19 Sept sebelum meneruskan perjalanan ke Messina, Itali bagi pusingan kedua.
#fauziah mohd hasan #Gaza #Israel #kapal Zaytouna #MyCare #Palestin #Zaytouna ditawan israel #Zaytouna-Oliva
;