Kesemua 82 ADUN di Sarawak akan terima suntikan vaksin Phizer BioNTech

Nuzuluddin Abdul Razak
Mac 4, 2021 15:06 MYT
Abang Johari ketika hadir untuk menerima suntikan vaksin Phizer BioNTech di Klinik Kesihatan (KK) Petra Jaya Kuching pada 16 Februari lalu. - Foto Japen Sarawak
KUCHING: 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sarawak akan menerima suntikan vaksin Phizer BioNTech untuk fasa pertama Program Imunisasi Kebangsaan di negeri itu.
Program yang bermula pada 26 Februari lalu itu menyaksikan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjadi pemimpin pertama Sarawak yang menerima vaksin itu di Klinik Kesihatan (KK) Petra Jaya Kuching.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Chin Zin Hing kesemua ADUN akan menerima suntikan vaksin secara berperingkat bergantung kepada pelaksaan program tersebut di bahagian masing-masing.
“Setakat ini masih ada ADUN yang belum menerima suntikan vaksin kerana ada antaranya yang bermula kemudian daripada Kuching antaranya Miri, Bintulu, dan Limbang yang akan bermula Sabtu depan,” katanya semasa dihubungi Astro Awani pada Khamis.
Sementara itu proses vaksinasi untuk kakitangan JKNS katanya masih berjalan dengan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Kita terima banyak senarai kakitangan kesihatan sebelum ini dan jika mereka menghadapi masalah semasa giliran vaksin mereka tiba, kita akan kemudiankan giliran mereka sehingga ke satu tempoh masa yang membolehkan mereka divaksin,” katanya.
Jelas Dr Chin, persiapan untuk program vaksinasi di bahagian Miri yang akan bermula Sabtu ini berjalan dengan lancar.
“Persiapan di Miri sudahpun selesai dan kita telah ambil maklum dengan segala keperluan semasa PPV yang berkaitan dari pelbagai sumber,”
“Mereka (Miri) telah melihat dan menilai proses vaksinasi yang telah dilalui di Kuching dan kita yakin semuanya akan berjalan dengan lancar dan tersusun,” jelasnya.
Untuk makluman, program vaksinasi di Miri akan berlangsung di enam PPV antaranya dua PPV dikhususkan untuk barisan hadapan kategori perubatan KKM iaitu Hospital Miri dan Hospital Marudi.
Empat PPV lagi dikhususkan untuk barisan hadapan Kesihatan Awam KKM dan bukan KKM iaitu di Dewan Eastwood, Dewan Dato Permaisuri di Permyjaya, Dewan Suarah Marudi dan Dewan Masyarakat Bekenu.
Waktu pemberian vaksin dijadualkan bermula 9 pagi hingga 4 petang, dengan waktu rehat antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang.
Selain Abang Johari, ADUN dan Ahli Parlimen Sarawak yang telah menerima suntikan vaksin termasuk Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dr Sim Kui Hian, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang termasuk Pengarah JKNS Dr Chin Zin Hing.
#BioNTech #vaksin #program vaksinasi #Sarawak #COVID-19 #Kuching #ADUN #KKM #Ketua Menteri #Astro Awani #Parlimen #Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg #Phizer BioNTech #Dr Chin Zin Hing
;