Keselamatan siber mainkan peranan penting dalam industri kurier - Fahmi
Bernama
Julai 4, 2023 06:30 MYT
Julai 4, 2023 06:30 MYT
PUTRAJAYA: Keselamatan siber memainkan peranan penting dalam industri kurier berikutan peningkatan kebergantungan kepada sistem digital, transaksi dalam talian dan kesensitifan data pelanggan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Berucap di Hari Apresiasi Industri Kurier, di sini pada Selasa, Fahmi berkata, penggunaan teknologi datang dengan risiko seperti ancaman pencerobohan data, serangan perisian hasad dan penipuan bagi memancing data.
"Setiap pemain industri harus memberikan keutamaan paling utama dalam melindungi data, memastikan integriti dalam operasi dan melindungi daripada ancaman siber bagi mengekalkan keyakinan dan menjamin kelancaran fungsi industri," katanya.
Fahmi berkata, dalam perubahan dunia yang pantas, kemajuan teknologi dan pembentukan semula industri dan perubahan cara bekerja, adalah penting untuk industri kurier mendukung inovasi dan terus menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berubah.
Industri ini seharusnya menggunakan peluang yang ada untuk melabur dalam teknologi terkini seperti kecerdasan buatan, automasi, logistik pintar untuk mengoptimumkan lagi proses dan meningkatkan keberkesanan operasi, katanya.
Pada majlis itu, Fahmi juga melancarkan MyKurier, sebuah alat penilaian untuk program pengadaran keselamatan dalam perkhidmatan kurier bagi memberikan orang awam maklumat dengan penarafan bintang, menunjukkan operator mana menawarkan perkhidmatan terbaik dalam bentuk perkhidmatan yang baik dan penghataran selamat untuk membantu mereka membuat keputusan berdasarkan maklumat yang lebih tepat.
Fahmi berkata, kaedah itu akan menilai budaya keselamatan syarikat kurier, yang membentuk 109 kriteria berdasarkan lima komponen utama iaitu, pengurusan, teknologi, keselamatan, pengalaman pengguna dan ESG (alam sekitar, sosial dan urus tadbir).
"Dalam jangka masa panjang, memperkenalkan penilaian ini akan menggalakkan persaingan sihat dan budaya kerja selamat dalam kalangan pemain industri, melindungi pekerja dan melonjakkan produktiviti di serata perniagaan, menjadi organisasi lebih berkesan," katanya. - BERNAMA