Keselamatan siber: Keterangkuman, kepelbagaian perkasa sumbangan wanita - Noraini

Madiha Abdullah
April 25, 2024 18:00 MYT
Kata Noraini, kepimpinan adalah mengenai impak dan inspirasi yang berkekalan, di samping memperkasa suara dan memperjuangkan sesuatu untuk mencapai matlamat bersama. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Seperti industri lain, industri keselamatan siber turut menghadapi masalah ketaksamaan jantina yang berpotensi menyisihkan sumbangan penting yang boleh dilakukan golongan wanita.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, wanita harus mula memberi fokus dan penekanan terhadap keterangkuman dan kepelbagaian perspektif bagi membolehkan mereka menangani cabaran industri dengan berkesan.
"Sebagai contoh, kita mesti mengenali dan memanfaatkan fakta bahawa terdapat lebih ramai wanita daripada lelaki di universiti.
"Ini adalah peluang untuk melatih lebih ramai wanita dalam bidang keselamatan siber. Kita boleh berbuat demikian dengan melabur dalam inisiatif pengambilan bersasar, biasiswa dan program bimbingan untuk menarik dan mengekalkan wanita dalam bidang tersebut.
"Selain itu, kita mesti mengakui bahawa ramai wanita meninggalkan pekerjaan mereka kerana tanggungjawab keluarga, terutamanya di antara umur 30 dan 39.
"Untuk memerangi isu ini, kita mesti melaksanakan dasar mesra keluarga dan pengaturan kerja yang fleksibel yang menampung pelbagai keperluan ibu bekerja," katanya.
Tambahnya, kepimpinan adalah mengenai impak dan inspirasi yang berkekalan, di samping memperkasa suara dan memperjuangkan sesuatu untuk mencapai matlamat bersama.
Wanita, jelasnya, terkenal dengan kemahiran komunikasi dan perspektif unik, mampu membawa perubahan dan kelebihan dalam menutup jurang digital bagi memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Women in CYBER 2024 (WIC 2024), pada Khamis.
Program anjuran Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) itu turut dihadiri Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Nushirwan Zainal Abidin, serta beberapa panelis lain termasuk Pengerusi Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI), Nurul Izzah Anwar, Pengarah Dasar dan Kerjasama Antarabangsa, Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan Malaysia (NACSA), Shariffah Rashidah Syed Othman, dan Pengarah Kanan Malaysia Center4IR, MyDigital Corporation, Ellina Roslan.
Ia disasarkan untuk memperkasa dan memberi inspirasi kepada wanita dalam keselamatan siber untuk cemerlang dalam kerjaya, memupuk komuniti yang menyokong dan inklusif, dan merapatkan jurang jantina dalam industri.
#keselamatan siber #wanita #noraini ahmad #ketaksamaan jantina #Women in CYBER 2024
;