Keselamatan rakyat jadi keutamaan berbanding defisit fiskal
Najib Aroff
November 28, 2020 19:01 MYT
November 28, 2020 19:01 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melakukan apa sahaja demi mengawal penularan COVID-19 untuk jangka pendek, menjaga kesihatan awam dan menyokong perniagaan dalam membangunkan ekonomi.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata semua itu perlu dilakukan secara serentak meskipun ia akan melibatkan peningkatan defisit fiskal.
"Fokus kita kini bukan hanya untuk defisit semata-mata sebaliknya untuk mempunyai sasaran jangka sederhana dan panjang untuk defisit.
"Ketika krisis kewangan global, defisit kita mencecah 6.7 peratus dan kerajaan penuh disiplin berjaya menurunkannya kepada 2.9 peratus pada 2017," katanya dalam temu bual bersama akhbar The Edge.
Zafrul berkata, Kementerian Kewangan meletakkan peruntukan berkaitan COVID-19 yang bersifat sekali beri, dalam satu akaun amanah sebagai langkah berdisiplin.
"Jika kita letak dalam belanjawan biasa, ia akan dianggap sebagai asas baharu.
"Untuk elak daripada wujudnya asas baharu kepada belanjawan, saya wujudkan dana amanah khas berkaitan COVID-19," katanya.
Zafrul berkata melalui itu Kementerian Kewangan mensasarkan defisit sekitar 4.5 peratus untuk tempoh 2021 hingga 2023, berdasarkan kepada rangka kerja percukaian semasa.
"Kita mahu turunkan defisit fiskal kepada 4 peratus dalam tempoh masa 3 ke 4 tahun namun ia masih bergantung kepada pemulihan pertumbuhan," katanya,
Zafrul pada masa sama berkata kerajaan akan perlu meminjam lebih banyak untuk memenuhi perbelanjaan.
"Jika anda lihat Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion dan hasil pula tidak akan diraih dengan pantas memandangkan ekonomi akan pulih secara berperingkat.
"Meskipun nisbah liputan bayaran hutang (DSC) akan meningkat namun ia akan ditampan oleh kos pinjaman yang rendah dan kita juga tidak mempunyai banyak risiko tukaran asing.
"Biasanya kita mempunyai DSC pada 15 peratus. Itu disiplin yang kita sendiri tetapkan sebelum krisis namun selepas krisis kita akan melepasi 15 peratus.
Zafrul berkata beliau menjangkakan peningkatan DSC akan mencecah hampir RM3 bilion susulan pinjaman tambahan yang dibuat untuk menampung pakej rangsangan.
#Kementerian Kewangan
#Tengku Zafrul Abdul Aziz
#COVID-19
#ekonomi
#defisit
#kerajaan
#rakyat
#kesihatan
#pandemik