Keselamatan mesti terus menjadi keutamaan di KLIA2 - Liow Tiong Lai
Astro Awani
Oktober 29, 2015 07:30 MYT
Oktober 29, 2015 07:30 MYT
Kementerian Pengangkutan memandang serius kebocoran di apron (parkir) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Ahad lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata beliau telah mengarahkan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) untuk menyelesaikan perkara ini dan bekerjasama dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
"Kebocoran minyak ini adalah sesuatu yang tidak patut berlaku. Pasukan penyiasat KAFS (Kuala Lumpur Aviation Fueling Systems) kini sedang menjalankan siasatan terhadap situasi kebocoran minyak tersebut.
"Saya juga telah mengarahkan DCA serta agensi-agensi berkaitan untuk mengemukakan laporan penuh kepada Kementerian," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada malam Khamis.
Menurut Liow, beliau telah membuat pemeriksaan di lokasi berlakunya kebocoran di apron klia2, pada Khamis.
"Selepas membuat tinjauan itu, saya berpendapat, keselamatan penumpang, pekerja serta pelawat di klia2 menjadi keutamaan Kementerian Pengangkutan," katanya lagi.
Beliau berkata, KAFS sedang menjalankan penyiasatan berterusan untuk mengenal pasti punca dan penyelesaian terbaik secepat mungkin.
Katanya, DCA juga sedang memantau dengan rapi situasi tersebut untuk memastikan kerja membaikpulih dijalankan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan.
Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, siasatan awal terhadap tumpahan minyak di kawasan parkir pesawat klia2, menunjukkan kemungkinan ia disebabkan kebocoran saluran paip di Petak Meletak Pesawat Q10 dan Q12.
Menurutnya, MA Sepang yang merupakan anak syarikat Malaysia Airport Holdings Bhd dan KAFS sedang menjalankan siasatan selanjutnya serta kerja pembaikan pada saluran paip yang bocor.
Beliau berkata DCA telah menghantar pasukan pemeriksa bagi menentukan langkah keselamatan dipatuhi sepenuhnya.
"DCA akan memantau situasi ini dari dekat bagi menentukan siasatan dan kerja pembaikan dikendali benar-benar mengikuti prosedur keselamatan," katanya.