Keselamatan menjadi perkara paling utama dalam pengangkutan awam, kata pakar
Bernama
Mei 4, 2018 06:25 MYT
Mei 4, 2018 06:25 MYT
Keselamatan menjadi perkara paling utama dalam mana-mana sistem pengangkutan awam dan Shinkansen, rangkaian kereta api peluru Jepun, memiliki kelebihan berbanding dengan sistem rel yang lain, menurut seorang pakar pengangkutan Malaysia.
Timbalan Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Shahrin Nasir melahirkan rasa kagum beliau dengan tawaran pakej Jepun yang holistik bagi membida tender antarabangsa cadangan projek rel berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.
"Sejak dari awal pembangunannya pada 1964, Shinkansen telah maju dengan pesat.
"Adalah penting untuk melihat pakej itu secara menyeluruh dan bukan sekadar pemindahan teknologi semata-mata," katanya kepada Bernama.
MyHSR, syarikat penghantaran projek untuk usaha infrastruktur terbesar di Asia Tenggara itu, telah mengumumkan baru-baru ini bahawa enam konsortium dari beberapa buah negara sedang berusaha untuk membida projek yang dianggarkan berkos sekitar RM50 bilion itu.
""Apabila anda menaiki kereta api yang bergerak selaju pesawat, perkara pertama yang anda akan lihat, sudah tentu membabitkan aspek keselamatan.
"Shinkansen mencatatkan sifar kematian selama ini kerana ia mengutamakan keselamatan dalam semua aspek operasi," kata Shahrin.
Beliau juga memberitahu MyHSR sudah pun bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan membabitkan pembangunan masa depan HSR dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lapan universiti pada bulan lepas.
Universiti-Universiti ini akan menjadi hab untuk mengembangkan pemindahan teknologi, terutamanya dari segi inovasi yang diperlukan bagi membolehkan rakyat Malaysia mengendalikan sistem tersebut.
Shahrin berkata cabaran untuk kelapan-lapan universiti berkenaan adalah bagaimana mereka boleh bekerjasama dan bukan untuk bersaing antara satu sama lain kerana manfaat yang diperolehi adalah lebih jauh dari sekadar kepentingan kepada pelajar dan penyelidik.
"Shinkasen adalah perintis sebenar dalam HSR, yang lain-lain sedang mengejar.
"Jika Jepun boleh tawarkan pakej yang sesuai, saya fikir kerajaan akan tertarik dan Shinkansen mungkin memenangi tender," katanya.
-- BERNAMA