Keselamatan makanan: Tiada isu berkaitan ikan... - Dr Noor Hisham

Hasimi Muhamad
Jun 14, 2020 19:35 MYT
Orang ramai tidak perlu bimbang kerana jika virus berkenaan terdapat pada makanan, ia akan mati apabila makanan tersebut dimasak. - Gambar hiasan
Kementerian Kesihatan (KKM) sekali lagi mengesahkan tiada sebarang isu berkaitan aspek keselamatan makanan di negara ini, setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes jangkitan COVID-19 menerusi makanan juga tidak berlaku.
Justeru, jelas beliau orang ramai tidak perlu bimbang kerana jika virus berkenaan terdapat pada makanan, ia akan mati apabila makanan tersebut dimasak.
“Setakat ini tiada isu berkaitan ikan (makanan basah), kerana apabila kita memasak makanan kita, virus tersebut kemungkinan (mati) dan kita tidak mendengar mengenai pemindahan virus daripada makanan.
“Jadi, kerana kita masak makanan kita, jadi ia akan membunuh virus tersebut (sekiranya ada pada makanan).
“Jadi, saya fikir tiada sebarang laporan berhubung pemindahan (virus) daripada makanan. Apa yang penting adalah kita perlu mengambil langkah pencegahan dan kekalkan tahap kebersihan diri,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keselamatan makanan khususnya makanan import selepas makanan segar dan basah di China seperti ikan kemungkinan berdepan masalah akibat gelombang kedua COVID-19.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #Keselamatan makanan #mati #Noor Hisham Abdullah
;