Keselamatan internet negara masih dalam keadaan terkawal

Ridauddin Daud
Februari 9, 2021 21:24 MYT
Sempena Hari Keselamatan Internet, CSM bukan hanya mahu meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan siber malah etika siber juga. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Hujung tahun lepas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan laman web mereka telah digodam.
Tahun ini, Anonymous Malaysia pula memberi dua amaran, sistem keselamatan dalam talian Malaysia berada pada tahap rendah.
Persoalannya, adakah keselamatan internet di negara ini rapuh?
Mengikut statistik Cyber Security Watch, dari Januari hingga Disember 2020, mereka telah menerima sebanyak 10,790 laporan insiden siber.
Sebanyak 7,593 adalah insiden melibatkan penipuan, hampir 70 peratus daripada keseluruhan kes, 1,444 kes penggodaman, 596 kes gangguan siber dan 553 gangguan ‘malware’.
BACA: ATM sahkan portal rasmi digodam
BACA: Bukan ATM sahaja, laman web Manchester United pun pernah digodam!
Begitupun, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, keselamatan internet di Malaysia masih di tahap terkawal.
Menurutnya, ancaman siber adalah perkara yang berlaku setiap hari, bukan hanya di Malaysia, malah satu dunia berdepan masalah yang sama.
“Yang penting adalah kita tidak perlu panik. Kedua, kita kena menyiapkan, melengkapkan diri kita dengan ilmu asas keselamatan siber supaya kita faham isu-isu ini.
Capaian Internet | MCMC pertingkat usaha tangani isu ini
“Kita juga perlu ambil langkah proaktif untuk lindungi diri kita, ia bermula dari kita. Kalau kita dapat jaga dan lengkapkan diri dengan ilmu asas, kita dapat kurangkan risiko jadi mangsa kepada serangan siber,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambah beliau, sempena Hari Keselamatan Internet, pihaknya bukan hanya mahu meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan siber malah etika siber juga.
“Jadi, etika siber ini penting, tak kisahlah orang muda, orang tua atau golongan profesional dan sebagainya, penting untuk mereka memiliki asas keselamatan siber dan mempunyai etika yang betul.
“Jika berlaku juga insiden kepada mereka, kami saran laporkan kepada kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pakar Keselamatan Siber UKM, Dr Amirah Ismail turut senada dengan Amirudin dan menyatakan risiko ancaman siber di negara ini masih terkawal.
“Kebanyakan organisasi awam dan swasta sudah mengambil langkah mengukuhkan keselamatan sistem masing-masing.
Pantau Anak | Ibu bapa perlu ada pengetahuan internet
“Rakyat Malaysia perlu memikirkan keselamatan peribadi mereka sebelum membuat keputusan untuk berkongsi maklumat diri yang dimuat naik, disimpan serta disalurkan secara dalam talian,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Astro AWANI.
Sementara itu, dalam perutusan sempena Hari Keselamatan Internet 2021, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebagai pengguna internet, semua pihak perlu sentiasa mengamalkan nilai murni serta saling menghormati.
“Bina sifat kendiri yang positif di alam siber melalui etika siber berlandaskan prinsip Rukun Negara.
“Sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2021 Edisi Malaysia yang bertemakan etika siber, saya menggesa seluruh warga digital Malaysia untuk melengkapkan diri dengan ilmu keselamatan siber kerana kita adalah benteng pertahanan untuk diri kita, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
#Internet #keselamatan #Siber #serangan siber #Saifuddin Abdullah #MCMC #Manchester United #Angkatan Tentera Malaysia #ATM #cybersecurity #CSM #serangan #mangsa #tentera #rakyat
;