Keselamatan digital: Kerajaan belum berhasrat bina aplikasi khusus - Fahmi Fadzil

Hasimi Muhamad
Oktober 23, 2024 14:00 MYT
Fahmi berkata, terdapat sejumlah aplikasi dalam pasaran yang boleh digunakan dan dimanfaatkan oleh para pengguna dalam negara ketika ini. - Foto UiTM Channel
SHAH ALAM: Kerajaan buat masa ini belum berhasrat mewujudkan aplikasi khusus seperti Truecaller sebagai salah satu usaha meningkatkan keselamatan digital dalam talian.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, terdapat sejumlah aplikasi dalam pasaran yang boleh digunakan dan dimanfaatkan oleh para pengguna dalam negara ketika ini.
Selain itu, jelas beliau sebarang perolehan mengenai teknologi maklumat (IT) atau digital perlu diputuskan oleh Jabatan Digital Negara di bawah Kementerian Digital.
"Sebab kita nak pastikan perbelanjaan wang ringgit rakyat ini dilakukan dengan dengan baik dan dengan cermat tanpa membazir. Jadi saya ambil maklum (cadangan membina aplikasi sendiri) dan ada beberapa perkara yang saya akan bincangkan nanti," katanya di sini pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan salah seorang pelajar dalam Program Siri Syarahan Menteri Bertajuk "Literasi Keselamatan Digital" yang dianjurkan oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Mengenai keselamatan data peribadi pula, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, pindaan terhadap keselamatan data peribadi dijangka dibentangkan untuk bacaan pertama dalam Persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini.
"Waktu ini, Akta Keselamatan Data Peribadi ketika ini tidak mewajibkan syarikat syarikat yang memegang data kita, kecuali yang telah disenaraikan daripada mendaftar dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi, serta memastikan menjamin data kita selamat. Jadi yang lain belum lagi.
"Tapi ada pindaan yang akan dimasukkan untuk pastikan banyak daripada kelompongan ini dapat diuruskan dengan baik. Jadi jangkakan bacaan pertama mungkin dalam mesyuarat Parlimen kali ini," jelas beliau.
#Fahmi Fadzil #keselamatan digital #Kerajaan Perpaduan #data peribadi
;