Keselamatan di Pulau Pinang terkawal, tiada jenayah serius

Bernama
Julai 8, 2024 05:00 MYT
Hamzah berkata tiada jenayah serius berlaku di negeri ini kerana pihaknya sentiasa memberi tumpuan khusus dalam menangani isu-isu berkaitan keselamatan. - Foto fail/PDRM
GEORGE TOWN: Polis memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Pulau Pinang terkawal dan akan sentiasa mempertingkatkan penugasan demi memelihara ketenteraman awam, kata Ketua Polis negeri Datuk Hamzah Ahmad.
Hamzah yang menggalas tugas sebagai Ketua Polis Pulau Pinang hampir tiga bulan berkata tiada jenayah serius berlaku di negeri ini kerana pihaknya sentiasa memberi tumpuan khusus dalam menangani isu-isu berkaitan keselamatan.
"Jadi tidak timbul isu sambil lewa dalam isu berkaitan ini (keselamatan). Lagipun pada saya, bukan sahaja (menjaga Pulau Pinang) sebagai satu amanah, tetapi tumpuan khusus untuk selesaikan dan jalankan tugas-tugas keselamatan dan setakat ini negeri ini (keselamatan) dalam keadaan kawalan yang baik," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keadaan keseluruhan keselamatan di Pulau Pinang berikutan terdapat persepsi masyarakat mendakwa negeri itu mencatatkan kes jenayah yang tinggi.
Berbekalkan pengalaman selama 36 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hamzah yakin dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik.
"Mungkin di Pulau Pinang baru masuk bulan ketiga (berkhidmat) tetapi saya di PDRM masuk tahun ke-36. Maksudnya, kerja-kerja dan hal berkaitan kepolisan ini, saya sudah agak lama dan sebati dengan tugasan saya," katanya.
Hamzah yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang pada 22 April lepas.
Beliau mengantikan Datuk Khaw Kok Chin yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada 25 Mac lepas.
-- BERNAMA
#Bukit Aman #PDRM #ketenteraman awam #tumpuan khusus
;