Keselamatan dan pertahanan siber sentiasa dipantau - ATM
Hakim Rahman
Mei 17, 2021 11:56 MYT
Mei 17, 2021 11:56 MYT
KUALA LUMPUR: Aspek keselamatan dan pertahanan siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dipantau bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat ditangani sewajarnya.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang berkata pihaknya sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa melalui peranan yang digerakkan oleh Bahagian Siber Dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC).
“Adalah ditegaskan bahawa ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa melalui peranan yang digerakkan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta CDOC yang bukan sahaja memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan Negara.”
Sebelum ini tular arahan dan langkah yang perlu diambil oleh Pentadbir Sistem Siber ATM dan Kementerian Pertahanan yang dikeluarkan oleh CDOC.
Menurut Afendi, arahan yang dikeluarkan itu adalah sebagai amalan biasa kepada aspek peringatan, tindakan serta langkah-langkah sewajarnya dalam menangani kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir-anasir asing.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai dua badan perisikan Israel dilaporkan mendapat 'lampu hijau' untuk menghapuskan pemimpin pejuang Hamas yang berada di dalam dan luar Gaza, termasuk di Malaysia.
Pemimpin Israel didakwa sudah mengarahkan badan perisikan negara itu, iaitu Shin Bet dan Mossad untuk melaksanakan tugas berkenaan.