Kesejahteraan sosial elemen utama pembangunan komuniti
Astro Awani
November 11, 2024 04:15 MYT
November 11, 2024 04:15 MYT
PULAU PINANG: Kesejahteraan sosial amat penting kerana ia merupakan elemen utama dalam menentukan tahap pembangunan sesebuah komuniti serta menilai taraf hidup mereka dari segi pembangunan sosio-ekonomi.
Pengerusi Yayasan Kita Anak Malaysia, Puvaniten Helan Govan berkata, konsep kesejahteraan sosial yang dibawa oleh badan bukan kerajaan harus jelas dalam strategi merubah sesebuah komuniti dengan penyelesaian masalah dan cabaran semasa yang dihadapi oleh rakyat.
Jelasnya, pemahaman terhadap kesejahteraan sosial ini akan membantu pembuat dasar dan pelaksana program dalam melancarkan usaha meningkatkan kualiti hidup individu, keluarga dan komuniti.
Puvaniten berkata demikian di dalam Majlis Kasih Deepavali anjuran Yayasan Kita Anak Malaysia di Pokok Machang, Tasek Gelugor.
Majlis dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri Sundarajoo Somu, Ketua Pegawai Ekskutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Datuk Seri Rozaili Mohamud dan Lembaga Pengarah Yayasan Kita Anak Malaysia Prof. Madya Dr Sara Chinnasamy.
Majlis ini turut menyaksikan pemberian barangan keperluan Deepavali kepada 300 penerima-penerima bantuan kategori B40 yang terdiri daripada golongan kurang upaya, ibu-ibu tunggal, warga-warga emas serta keluarga B40 dari Pulau Pinang.
Yayasan Kita Anak Malaysia menjamin akan berterusan komited membuat pelbagai jenis aktiviti yang berkaitan dengan elemen-elemen kesejahteraan sosial ini. Setakat ini Yayasan KIta Anak Malaysia mempunyai penerima-penerima bantuan seramai 100,000 di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.