Kesejahteraan PPR: Noh Omar, Azmin 'bertelagah'

Harits Asyraf Hasnan
Mac 14, 2017 14:19 MYT
Noh Omar meninjau permasalahan penduduk di Flat PPR Lembah Subang 2 pada lawatan kerja di Subang, 10 Oktober, 2016. --fotoBERNAMA
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapati kegagalan penyelenggaraan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) menjadi punca penyewa enggan membayar sewa rumah.
Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, setakat penghujung tahun 2016 jumlah keseluruhan sewa yang tidak dibayar mencecah RM1.9 juta.
"Kita tidak nafikan kegagalan pihak PBT menyelenggara dan menguruskan rumah PPR ini menjadi punca (keengganan penyewa membayar sewa).
"Kalau kita lihat rumah PPR yang diurus dengan baik, masalah kutipan sewa ini amat minima. Mereka sanggup untuk bayar... kerana mereka mendapat perkhidmatan yang baik, lif pun terurus.
"Ertinya mereka duduk selesa... Yang ini, saya tengok, tidak ada masalah. Banyak antara mereka yang bayar (sewa)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Terdahulu semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Noh menjawab soalan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) yang meminta kementeriannya menyatakan kekerapan bancian yang dilakukan ke atas premis PPR bagi membendung tindakan sewaan unit rumah kepada pihak ketiga.
Rozman juga bertanya berapakah jumlah pemilik yang didapati bersalah kerana menyewa premisnya kepada pihak ke tiga setakat penghujung tahun 2016.
Noh berkata, berdasarkan Ops Sejahtera Komuniti dengan empat siri penguatkuasaan di PPR Papar di Sabah, PPR Jalan Pudu di Kuala Lumpur, PPR Taman Dahlia di Kedah dan PPR Seri Stulang di Johor, sejumlah 3,370 kes sewa tertunggak dilaporkan.
Jabatan Perumahan Negara dilaporkan telah mengeluarkan amaran notis peringatan kepada 337 penyewa yang mempunyai tunggakan sewa pada tahun 2016 dengan 68 unit rumah PPR telah diberikan notis penamatan.
Sementara itu, memberi contoh PPR Lembah Subang 1, Noh berkata pihaknya kini sedang mengambil alih PPR tersebut daripada kerajaan negeri Selangor kerana ia didakwa tidak diselenggara dengan sempurna.
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor ketika bercakap pada satu sidang media berasingan di lobi Parlimen hari ini.
"Kita sudah belanja RM70 juta untuk penyelenggaraan (PPR Lembah Subang 1), termasuk penggantian lif, pengurusan sampah dan lain-lain penyelenggaraan.
"Kalau kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak menyelenggarakannya beberapa tahun lalu, tidak mungkin bangunan itu dalam keadaan sekarang. Mungkin lebih parah daripada itu.
"Jadi, jika kita hendak serahkan aset ini kepada kerajaan persekutuan, dalam keadaan kita sudah membiayai penyelenggaraannya, kita nak tahu siapa yang akan membayar kos ini," soalnya.
Jelas Azmin, beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum ia bole diserahkan kepada kerajaan persekutuan termasuk kos penyelenggaraan yang ditanggung kerajaan negeri.
Ketika ini, KPKT dalam proses melaksanakan Ops Sejahtera yang menjadi sebahagian usaha mengenalpasti punca penyewa PPR enggan membayar sewa, termasuk dari sudut kesejahteraan mereka.
#Azmin Ali #enggan bayar sewa #Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempata #Noh Omar #Projek Perumahan Rakyat
;