Kesejahteraan bangsa, negara dipengaruhi sifat pemimpin - Sultan Nazrin

Afiezy Azaman
November 20, 2018 12:31 MYT
Sultan Nazrin menyampaikan Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M kepada Datuk Paduka Nik Jaafar Nik Ismail di PICC hari ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
Kesejahteraan bangsa dan kemakmuran sesebuah negara dipengaruhi sifat dan akal bicara pemimpinnya.
Begitu titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ketika menyempurnakan sambutan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1440H/2018M.
"Jika pemimpin senantiasa insaf, akan tanggungjawab lebih besar kepada Allah S.W.T. Maha Pencipta, akan sejahteralah hidup ummah, akan makmurlah negara.
"Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama, dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan malah kepentingan majoriti ummah akan lebih diutamakan," titah baginda pada majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut disertai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.
Pada majlis itu, tokoh agama dan guru Al-Quran terkenal di Malaysia, Datuk Paduka Nik Jaafar Nik Ismail, dinobatkan Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1440H/2018M yang disampaikan Sultan Nazrin.
Beliau menerima wang tunai RM50,000, sebuah trofi dan sijil penghargaan.
Ketika ditemui pemberita, Nik Jaafar melahirkan rasa bersyukur dan gembira dengan anugerah tersebut dan berharap lebih banyak ceramah diadakan mengenai kelemahan membaca Al-Quran kepada golongan Melayu dan Islam.
"Tidak terkata, kerana dalam hati saya ini banyak sangat, saya pun tidak jangka begini.
"Saya akan teruskan dalam bidang (Guru) saya itu di masa akan datang jika saya masih lagi bertenaga kerana saya umur 82," katanya.
Dalam pada itu, empat lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul pada tahun ini adalah pakar rujuk ibadah haji, Dr Anisah Ab. Ghani; Pengarah Ukur Bahagian (Ehwal Persempadanan) Jabatan Ukur dan Pemetaan, Dr Azhari Mohamed yang juga pakar ilmu falak; mantan pentadbir agama dan aktivis Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Yaakob Lazim dan ahli korporat dan dermawan, Datuk Abd Rahman Ibrahim.
Mereka dipilih berdasarkan kepada sumbangan mereka dalam memperkasakan syiar Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.
#Mahathir Mohamad #Maulidur Rasul #Siti Hasmah #sultan nazrin #tokoh maulidur rasul
;