Kesediaan hadir program di negeri pembangkang perlihat PM utamakan rakyat

Bernama
April 21, 2024 04:20 MYT
Keterbukaan Perdana Menteri Anwar untuk menghadiri program dan bertemu pemimpin di negeri-negeri pembangkang memperlihatkan sikap Perdana Menteri lebih mementingkan soal pembangunan dan kebajikan rakyat. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA NERANG: Keterbukaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri program dan bertemu pemimpin di negeri-negeri pembangkang memperlihatkan sikap Perdana Menteri lebih mementingkan soal pembangunan dan kebajikan rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selepas mengadakan lawatan ke Perlis dan Kelantan sebelum ini, Perdana Menteri akan ke Kedah bagi menghadiri program Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI pada 4 Mei ini.
"Pada sebelah petang 4 Mei itu, Perdana Menteri sudi untuk mendengar taklimat pembangunan daripada kerajaan negeri.
"Itu merupakan (sikap) pemimpin yang tak melihat sempadan apabila nak melihat pembangunan rakyat walaupun negeri ini negeri pembangkang," katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri UMNO Bahagian Padang Terap, di sini, pada Ahad.
Mahdzir berkata, walaupun Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sering membuat serangan politik terhadap Anwar menerusi kenyataannya, namun Perdana Menteri tidak mengambil kira soal itu dan tetap datang ke Kedah.
"Dia (Anwar) mahu dengar daripada kerajaan negeri apakah wishlist negeri, yang nak membantu rakyat negeri Kedah dalam sektor-sektor yang ada di Kedah seperti pertanian, industri, perikanan, padi atau pun infrastruktur di Kedah," katanya.
Penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI bersama Perdana Menteri diadakan di tujuh negeri bermula 18 April yang mana di Kedah dijadualkan berlangsung pada 4 Mei.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata dia akan hadir memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri MADANI yang akan diadakan di Tasik Bandar Darulaman, Jitra.
Muhammad Sanusi berkata, Anwar juga dijadualkan mengadakan perjumpaan rasmi dengannya di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada petang hari yang sama. - BERNAMA
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #negeri pembangkang #rakyat #Mahdzir Khalid
;