Kesederhanaan tidak terhad pada agama Islam - Ahmad Zahid
Madiha Abdullah
Mei 8, 2024 17:24 MYT
Mei 8, 2024 17:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kesederhanaan adalah kunci utama dalam memupuk keharmonian dan toleransi, khususnya bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesederhanaan bukan sahaja melibatkan agama Islam, malah harus menjadi tunjang agama lain dalam usaha mencapai matlamat tersebut.
"Semua agama mesti mempunyai pendekatan kesederhanaan yang sama. Dalam hal ini Mohammad Al-Issa ada memberi penekanan kerana 'rabitah' Liga Muslim, mahu menyatukan seluruh tindakan umat Islam yang diwakili oleh para ulama.
"Ini bertujuan supaya tindakan kesederhanaan ini dilakukan tanpa mengira batas waktu atau sempadan negara. Ia mesti dilakukan sebgai perkara penting bagi menghilangkan gambaran kononnya islam mempromosi ekstremisme maka soal moderation ini tidak ada kompromi," katanya.
Tambahnya, teras Malaysia MADANI yang diamalkan kerajaan perpaduan juga merupakan komponen penting dalam memastikan kestabilan dalam kalangan masyarakat berdasarkan ihsan, saling menghormati, kemakmuran dan kepercayaan.
Beliau ditemui pada Majlis Ulama Asia 2024, anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Liga Dunia Islam, Arab Saudi.
Turut hadir adalah Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Muslimin Sheikh Dr. Mohammad Abdulkarim Al-Issa serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.