Kesederhanaan Islam lengkapi keperluan keamanan bersama - Prof Mohammad Hashim

Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 20, 2022 22:25 MYT
Menurut Prof Mohammad Hashim, Kesederhanaan Islam yang diamalkan di Malaysia mampu menjadi contoh dalam konteks keamanan bersama yang dikecapi. - Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Malaysia mampu menjadi negara yang boleh dijadikan model terbaik dalam kalangan negara-negara serantau dalam mempraktikan keamanan bersama.
Ini kerana menurut pengasas dan CEO International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, Prof Datuk Dr Mohammad Hashim Kamali, ancaman kepada keselamatan terutamanya dalam kalangan negara-negara serantau ketika ini tidak boleh dipandang remeh.
BACA: 'Focus in Continuity: Roundtable Series' kupas isu hidup bersama dalam budaya damai di Astro AWANI malam ini
Malah jelasnya, jalinan kerjasama bersama dalam memastikan komitmen menjaga keamanan bersama itu perlu berterusan dari semasa ke semasa.
“Usaha mempraktikkan jalinan keamanan bersama akan sentiasa berdepan dengan cabaran. Anda perlu menyesuaikan keadaan dengan siapa yang anda sedang berurusan dalam kalangan negara-negara lain.
“Malaysia misalnya boleh menggunakan kekuatan yang ada dan dikenali sebagai langkah permulaan bagaimana kita menangani isu pluralisme di negara ini.
"Kita juga boleh mempraktikkan apa yang telah ditetapkan oleh Islam seperti yang terkandung di dalam Maqasid Syariah,” jelasnya ketika ditemubual dalam program Roundtable Series Peaceful Coexistence.
Malah katanya Islam itu sendiri lengkap dengan segala panduan dan perlindungan dengan merangkumi aspek kehidupan, pendidikan, harta benda dan lain-lain.
Selain itu konsep kesederhanaan dalam semua aspek yang terkandung dalam ajaran Islam itu sendiri mampu menjadi pemangkin dalam memastikan keamanan itu dikecapi.
Dalam masa yang sama tambahnya, semua pihak perlulah menghindari sikap pelampau bagi mencapai maksud tersebut.
Beliau juga tidak menafikan bahawa cabaran dan juga ancaman terhadap keamanan akan sentiasa wujud dan semakin meningkat memandangkan golongan pelampau sentiasa ada di mana-mana.
Bahkan katanya, jika dilihat ancaman yang berlaku di luar negara ketika ini, golongan tersebut berselindung di sebalik pelbagai nama bagi mengaburi dan memperdayakan orang ramai seperti Al-Qaeda, Boko Haram dan Daesh.
“Rakyat Malaysia juga dilihat lebih berkecenderungan menyerap panduan yang terkandung dalam ajaran Islam yang sebenar,” jelasnya lagi.
Islam juga katanya sangat menolak sikap perkauman dalam kalangan manusia bagi maksud untuk mengharmonikan antara kepelbagaian kaum dan agama serta memusuhi sikap diskriminasi.
#Al-Qaeda #CEO #haram #international #ISIS #Islam #Malaysia #model #pendidikan #rakyat Malaysia #syariah
;