Kesedaran rendah, mudah percaya punca mangsa penipuan dalam talian di Perak

Abd Razak Mohd Ali
Januari 15, 2022 17:41 MYT
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,021 kertas siasatan telah dibuka membabitkan kerugian hampir RM70 juta. - Gambar fail/BERNAMA
LUMUT: Tahap kesedaran yang rendah dan terlalu mudah percaya menyebabkan ramai individu, terutamanya wanita, menjadi mangsa penipuan dalam talian di negeri Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,021 kertas siasatan telah dibuka membabitkan kerugian hampir RM70 juta.
Menurutnya, kejadian terbaharu berlaku Khamis lalu apabila seorang mangsa mengalami kerugian RM174,000 selepas menerima panggilan daripada syarikat insurans kononnya ada membuat tuntutan palsu.
"Insiden ini berlaku disebabkan mangsa-mangsa kes tiada maklumat akan modus operandi sindiket penipuan seperti Macau Scam, Love Scam, pinjaman yang tidak wujud malah, ada yang menyamar dengan menggunakan gambar profil rakan mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor, dekat sini, hari ini.
Kayuhan santai sejauh 12 kilometer melibatkan 100 peserta yang terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Berbasikal Pulau Pangkor.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Orang Besar Jajahan (OBJ) Manjung, Datuk Shaharudin Nazari.
Mior Faridalathrash menasihatkan mangsa penipuan dalam talian agar membuat laporan polis walaupun ia melibatkan kerugian yang kecil.
"Kebanyakan mangsa mengambil sikap mudah untuk tidak buat laporan polis kerana kerugian yang dialami sedikit, contohnya RM50 sedangkan sindiket terbabit masih berleluasa.
"Apa pun amaun kerugian, datang ke balai untuk buat laporan supaya pihak polis akan terus mengesan dan mengambil tindakan terhadap sindiket ini dari terus memperdaya masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata, tahun ini, pihaknya turut memberi fokus kepada usaha mengekang jenayah dalam talian, selain membanteras kegiatan dadah.
"Kita akan terus mendekati orang ramai menerusi program yang dianjurkan untuk memberi kesedaran terhadap jenayah penipuan dalam talian yang semakin meningkat ini.
"Orang ramai juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika menerima panggilan yang mencurigakan," kata beliau lagi.
#penipuan dalam talian #Perak #tahap kesedaran #polis perak #Mior Faridalathrash Wahid #Macau Scam #love scam
;