Kesedaran rakyat tunai zakat meningkat - Tengku Abdullah

Bernama
Ogos 3, 2018 20:33 MYT
Tengku Abdullah optimis sasaran kutipan zakat RM130 juta dengan 85,000 pembayar pada tahun ini dapat direalisasikan. - Gambar fail
Kesedaran rakyat Pahang untuk menunaikan zakat semakin meningkat pada tahun ini, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Baginda bertitah setakat 31 Julai, seramai 76,105 pembayar zakat harta telah menjelaskan zakat masing-masing berjumlah RM70.5 juta berbanding 73,320 orang pada tahun sebelumnya.
"Prestasi kutipan zakat kali ini Alhamdulillah. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang menjelaskan zakat dan berharap lebih ramai tampil melaksanakan kewajipan itu bagi membantu golongan asnaf.
"Kita cuba untuk membantu mereka sebaik mungkin termasuk dalam membuat bayaran rumah. Kita cuba sedaya upaya membantu dan menambah baik proses mencari dan menyelidik mereka yang memerlukan," titah Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) pada Majlis Penyerahan Zakat daripada enam syarikat korporat di Istana Abdul Aziz di sini, hari ini.
Baginda bertitah, walaupun terdapat peruntukan di bawah enakmen Jenayah Syariah 2013 yang membolehkan mereka yany layak didenda jika gagal membayar zakat, baginda 'lebih gemar' kepada pendekatan menimbulkan kesedaran kepada masyarakat.
Tengku Abdullah juga optimis sasaran kutipan zakat RM130 juta dengan 85,000 pembayar pada tahun ini dapat direalisasikan, dan dapat ditingkatkan lagi pada 2019 menerusi pelaksanaan Program Wajib Taksir Zakat Pendapatan (WTZ).
WTZ yang dimulakan pada Mac lepas meminta majikan menyerahkan senarai kakitangan untuk disemak bagi menentukan sama ada seseorang itu wajib membayar zakat atau tidak.
"Setakat 31 Julai, sebanyak 750 majikan telah menghantar senarai 42,810 orang kakitangan. Selepas disaring, seramai 21,164 adalah pembayar zakat sedia ada dan bakinya akan menerima borang taksiran bagi menentukan wajib membayar zakat atau tidak," titah baginda.
Pada majlis itu, Tengku Abdullah menerima zakat korporat berjumlah RM6.67 juta terdiri daripada RM4.1 juta yang dibayar FGV Holdings Berhad yang diwakili Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Operasi Felcra Berhad Wilayah Pahang Raja Badli Raja Abdullah (RM999,038).
Sementara Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil menyerahkan zakat berjumlah RM648,405.13, Senior Banker Coverage Bank Pembangunan Malaysia Bhd Sulaiman Abd Rahim (RM500,000), CEO Bank Muamalat Malaysia Berhad Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid (RM223,486.03) dan Pengerusi Majlis Pengurusan Pahang Skills Development Centre Datuk Mas'ut Awang Samah (RM200,000).
-- BERNAMA
#asnaf #MUIP #Pemangku Raja Pahang #Tengku Abdullah #zakat
;