Kesedaran mengenai kanser masih kurang di kalangan golongan muda

Bernama
Jun 18, 2019 06:00 MYT
Datuk Zuraidah Atan menekankan betapa pentingnya kempen dan program untuk mendidik belia dan kanak-kanak tentang penyakit kanser. - Gambar hiasan
Kesedaran tentang pentingnya pemeriksaan awal bagi mencegah kanser masih kurang di kalangan rakyat Malaysia terutama mereka yang masih muda.
Pemandiri (survivor) kanser kolorektal, Choo Mei Sze berkata sebab golongan muda kurang berpengetahuan tentang kanser adalah akibat kejahilan dan anggapan bahawa kanser tidak menyerang golongan muda.
Mei Sze berusia 27 tahun apabila dia didiagnosis menghidap kanser kolorektal tetapi dia bernasib baik kerana penyakit itu dapat dikesan pada peringkat awal.
'Semua orang berusia 20-an dan 30-an tidak akan fikir mengenai kanser kerana sibuk dalam urusan harian dan berusaha untuk mencapai kerjaya. Kesihatan adalah perkara terakhir dalam minda kita.
"Kita hanya menyedari kesan penyakit itu sebaik kita adalah pesakit dan kanser tidak membezakan umur. Anda boleh mendapat kanser walau pada usia apa pun, '' katanya pada sidang media selepas melancarkan acara Relay for Life di sini pada Selasa.
Beliau berkata pemeriksaan awal adalah penting dan gololongan remaja harus ingat bahawa pemeriksaan dan ujian bagi mengesan kanser tidak hanya untuk mereka yang telah berumur.
Katanya, Penasihat Kehormat Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM), Datuk Zuraidah Atan menekankan betapa pentingnya kempen dan program untuk mendidik belia dan kanak-kanak tentang penyakit kanser.
"Mereka lebih rela untuk melarikan diri daripada penyakit itu daripada mengambil tahu dan mempunyai kesedaran. Itulah sebabnya kempen pendidikan dan program mengenai kanser adalah penting untuk mendidik mereka supaya lebih memahami tentang pentingnya pemeriksaan kanser, "katanya.
Selain kempen, beliau berkata media sosial juga boleh menjadi alat yang efektif untuk menyebarkan maklumat mengenai topik itu dan bagaimana penyakit itu dapat dicegah.
Mereka yang ingin maklumat boleh menghubungi talian bantuan NCSM 1800-88-1000.
Relay for Life Kuala Lumpur (RFL KL) adalah acara terbesar bagi mengumpul dana yang dianjurkan oleh NSCM untuk meraikan pemandiri kanser dan juga meningkatkan kesedaran tentang kanser.
-- BERNAMA
#dana #kanser #Kesedaran #media sosial #orang muda #Relay for Life #RFL KL #Zuraidah Atan
;