Kesedaran melindungi hidupan laut dalam kalangan nelayan Perlis semakin meningkat - PNW
Bernama
September 6, 2021 18:52 MYT
September 6, 2021 18:52 MYT
Kesedaran dalam kalangan nelayan Perlis mengenai kepentingan bersama menjaga spesies hidupan laut terancam seperti ikan lumba-lumba semakin meningkat, kata Pengasas Perlis Nature and Wildlife Syamil Abd Rahman.
"Nelayan di sini (Kuala Perlis) memberi kerjasama melaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Perlis dan PNW jika mereka terjumpa bangkai ikan lumba-lumba atau menghantar video ikan lumba-lumba yang diselamatkan kepada kita," katanya.
Katanya, pihak PNW ke lokasi penemuan bangkai seekor lumba-lumba hari ini bagi mengambil sampel untuk dihantar kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dalam bidang biologi marin, MareCet untuk ujian makmal.
Penemuan bangkai ikan lumba-lumba di pesisiran pantai Kuala Perlis berhampiran Kampung Baru itu dimaklumkan kepada PNW oleh nelayan.
"Dalam tempoh Januari hingga September tahun ini terdapat dua kes menyelamatkan ikan lumba-lumba dan empat kes melibatkan penemuan bangkai mamalia tersebut di Perlis," katanya.
Beliau berkata, peningkatan kes adalah hasil kesedaran nelayan dan orang ramai membuat laporan mengenai penemuan ikan lumba-lumba sama ada yang masih hidup atau sudah mati.
Turut hadir di lokasi penemuan bangkai ikan lumba-lumba itu adalah Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis Razak Saad dan Pengerusi Komuniti Perikanan Perlis (MyKP) Husin Ya.
Sementara itu, Razak Saad, 60, berkongsi dengan para wartawan yang berada di lokasi penemuan itu mengenai pengalaman pertamanya berpeluang menyelamatkan anak dan ibu ikan lumba-lumba sepanjang hampir 42 tahun menjadi nelayan.
"Berdasarkan pengalaman saya hampir 42 tahun menjadi nelayan inilah kali pertama saya berpeluang untuk menyelamatkan anak dan ibu ikan lumba-lumba pada Jumaat (3 Sept) kira-kira 5.30 petang," katanya.
Razak berkata beliau bersama dua orang rakannya iaitu Abdullah Lee dan Mustaqim Ahmad telah mengangkat kedua-dua ikan lumba-lumba masing-masing seberat 200 kilogram (kg) dan 20 kg yang terperangkap juga di tepi pantai berhampiran Kampung Sungai Baru ketika air surut, ke dalam bot mereka.
Beliau berkata ikan lumba-lumba adalah haiwan yang unik dan ia seolah-olah faham dengan bahasa manusia.
"Ketika mengangkat kedua-dua ikan tersebut ia diam apabila saya cakap 'hang diam sat, aku nak kalih hangpa' (Diam sekejap saya mahu angkat kamu)," katanya sambil tersenyum menceritakan detik menyelamatkan anak dan ibu ikan lumba-lumba itu.
Mereka bertiga kemudiannya membawa ikan lumba-lumba dua beranak itu kira-kira satu batu nautika dari pantai sebelum melepaskan mereka di tengah laut.
Razak berkata detik yang paling indah kepada mereka bertiga adalah apabila ikan lumba-lumba itu menghempas ekornya ke air sebagai isyarat tanda terima kasih.
Beliau berkata berkata bermacam-macam cerita yang beliau dengar daripada orang tua bahawa mamalia itu pernah membantu nelayan ketika menghadapi kesukaran di laut.
"Ikan lumba-lumba boleh diibaratkan sebagai sahabat karib kepada nelayan kerana mereka saling membantu antara satu sama lain ketika mencari rezeki di lautan," katanya.
Sementara itu Husin berkata hubungan ikan lumba-lumba dan nelayan ibarat sebuah keluarga dan kelibat mamalia itu sering kelihatan di laut ketika nelayan sedang menangkap ikan.
"Biasanya ikan lumba-lumba banyak kelihatan pada musim Monsun Barat Daya iaitu antara bulan Mei hingga September kerana dalam tempoh tersebut adalah musim menangkap ikan kembung namun ikan lumba-lumba tidak pernah mengganggu aktiviti nelayan," kata beliau yang kini berusia 61 tahun dan menjadi nelayan sejak berumur 18 tahun.
-- BERNAMA