Kesedaran ibu bapa sumbang peningkatan permohonan MyKad 12 tahun

Bernama
Oktober 9, 2024 21:55 MYT
Faizah berkata, sebanyak 366,526 MyKad kali pertama itu dimohon sepanjang Januari hingga September 2024 berbanding 349,520 bagi tempoh yang sama tahun lepas. - Gambar fail/Astro AWANI
MELAKA: Kesedaran ibu bapa untuk melakukan pendaftaran MyKad 12 tahun dilihat menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan permohonan kad pengenalan berkenaan, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (Pengurusan) Faizah Jaarudin.
Beliau berkata sebanyak 366,526 MyKad kali pertama itu dimohon sepanjang Januari hingga September 2024 berbanding 349,520 bagi tempoh yang sama tahun lepas.
"Bagi negeri Melaka sendiri, sebanyak 11,371 permohonan diterima JPN tahun ini bagi tempoh Januari hingga September berbanding 10,675 bagi tempoh yang sama tahun lepas.
"Ini memberi petunjuk bahawa kesedaran ibu bapa yang sebelum ini sambil lewa atau membuat pendaftaran lewat telah meningkat dan adik-adik kita berumur 12 tahun telah memperoleh atau memohon MyKad mereka," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Pidato JPN 2024 sempena sambutan Hari JPN ke-76 peringkat negeri Melaka di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.
Tambah beliau, tempoh operasi kaunter di JPN yang ditambah baik juga memberi impak besar terhadap peningkatan permohonan MyKad terutama di Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang terdapat di setiap negeri.
"Ramai ibu bapa kini turut mengambil peluang membuat urusan di kaunter JPN di UTC yang juga dibuka pada hari minggu sehingga 5 petang atau tidak lagi menunggu sehingga cuti sekolah untuk melakukan urusan permohonan itu.
"Malah aktiviti turun padang seperti kaunter bergerak menerusi program MEKAR juga banyak membantu memudahkan ibu bapa membuat urusan permohonan MyKad ini terutama di kawasan luar bandar atau pendalaman dan adakalanya kita boleh mencetak MyKad itu dalam tempoh 30 minit selepas permohonan dilakukan," katanya.
Mengulas mengenai MyKid, beliau menjelaskan masih terdapat 30 peratus MyKid masih belum dituntut oleh ibu bapa dan JPN berharap pemohon melakukannya dengan kadar segera.
"Alhamdulilah kita telah mendapat bekalan bagi MyKid dan urusan permohonan lancar sejak kembali dibuka 29 Julai lepas, namun dalam masa yang sama, terdapat 30 peratus MyKid masih belum dituntut.
"Jadi kita mohon ibu bapa segera menyemak status permohonan MyKid mereka dalam portal JPN dan menuntutnya dalam kadar segera," katanya.
-- BERNAMA
#mykad #status permohonan #portal JPN #impak besar
;